Home PolitikPakatan Harapan Pakatan Harapan pertahan kebebasan badan kehakiman

Pakatan Harapan pertahan kebebasan badan kehakiman

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 28 Apr – Pakatan Harapan (PH) menggesa supaya kerajaan persekutuan memastikan kebebasan badan kehakiman sentiasa dilaksanakan, kerana ia termaktub dalam perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan persekutuan.

Majlis Presiden PH dalam kenyataan berkata, PH menyokong penuh kenyataan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berhubung tohmahan terhadap hakim dan badan kehakiman yang disifatkan sebagai keterlaluan.

Menurutnya, Perkara 4.1 di dalam MoU tersebut menyatakan dengan jelas bahawa kerajaan perlu memastikan badan kehakiman bebas ‘sepanjang masa’.

“Majlis Presiden mengingatkan Perkara 4.1 di dalam Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kerajaan Persekutuan dan PH yang menyatakan dengan jelas bahawa Kerajaan Persekutuan perlu ‘memastikan terlaksana sepanjang masa kebebasan badan kehakiman’,

“Maka PH mendukung dan mempertahan sepenuhnya kebebasan badan kehakiman,

“Oleh itu, kami menggesa agar kerajaan Persekutuan memastikan MoU ini terus terlaksana dengan menjamin bahawa agensi-agensi penguatkuasaan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan serta sentiasa menghormati prinsip kebebasan badan kehakiman,” jelas kenyataan itu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini membuka siasatan terhadap hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali berhubung dakwaan wang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.

Nazlan adalah hakim yang menyampaikan sabitan kesalahan jenayah pecah amanah, pengubahan wang haram dan rasuah berhubung penyelewengan RM42 juta dana SRC International ke atas Najib Razak.

Ekoran tuduhan ke atasnya, Nazlan telah membuat laporan polis sambil menyifatkan tuduhan ke atasnya itu berniat jahat, tidak berasas dan bertujuan untuk mencemarkan kredibilitinya sebagai seorang hakim.

Dalam pada itu, pemimpin PH berkata MoU dengan kerajaan perlu diteruskan bagi memastikan agensi penguatkuasaan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan sebaliknya menghormati prinsip kebebasan badan kehakiman.

“Amatlah jelas, badan kehakiman yang bebas merupakan tunjang kepada negara hukum dan sistem demokrasi yang diterima, dipercayai serta diyakini rakyat,” tambahnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply