Home Semasa 3 premis hiburan di Kuala Lumpur diarah tutup serta merta

3 premis hiburan di Kuala Lumpur diarah tutup serta merta

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 18 Apr – Sebanyak 3 buah premis hiburan telah diarahkan ditutup serta merta kerana menjalankan aktiviti hiburan (muzik) tanpa lesen, dalam operasi yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, pada Ahad.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jamaluddin Alias berkata, kesemua premis yang dikenakan tindakan penguatkuasaan itu didapati telah melanggar syarat lesen yang dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), iaitu menjalankan perniagaan makanan dan minuman tanpa sebarang aktiviti hiburan.

Menurutnya, dalam operasi bersepadu tersebut, sebanyak 12 buah premis di 3 lokaliti sekitar Kuala Lumpur telah dibuat siasatan terperinci.

“Hasil siasatan terperinci, pasukan operasi telah mengambil tindakan menutup serta-merta operasi bagi 3 buah premis di bawah Seksyen 17, Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992 kerana menjalankan aktiviti hiburan (muzik) tanpa lesen,

“Selain itu, 10 barangan perniagaan berkaitan aktiviti hiburan seperti alat pembesar suara, pengadun bunyi (audio) dan alat kawalan konsol Disk Jockey turut disita,” katanya dalam kenyaatan pada Isnin.

Jamaluddin menjelaskan, operasi yang dijalankan turut melibatkan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Beliau turut memberi amaran kepada pemegang-pemegang lesen supaya jangan terlalu mengambil mudah terhadap isu pelanggaran syarat lesen ini.

Tambahnya, ia kerana sebarang pelanggaran terhadapnya akan dibawa ke jawatankuasa dan pembatalan lesen perniagaan boleh dikenakan kepada pemilik premis tanpa prejudis.

“Jabatan Penguatkuasaan, DBKL telah diarahakan untuk membuat proses pemantauan dan tindakan penguatkuasaan terhadap setiap premis hiburan di Kuala Lumpur secara konsisten dari semasa ke semasa,

“Sekiranya terdapat sebarang pelanggaran syarat oleh pemegang-pemegang lesen ini, saya meminta Jabatan Penguatkuasaan, DBKL dan agensi-agensi sahabat untuk terus mengambil tindakan berlandaskan undang-undang sedia ada secara tegas, telus dan konsisten,” tegasnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan, sepanjang tahun 2021 sehingga Mac 2022, DBKL telah menutup 271 buah premis kerana melakukan pelbagai kesalahan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply