Home Pertahanan dan Keselamatan PGA patahkan sindiket seludup diesel RM1.42 juta

PGA patahkan sindiket seludup diesel RM1.42 juta

by Air Times News Network

JOHOR BAHRU, 18 Apr – Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam berjaya mematahkan satu sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi, susulan penahanan 2 warga tempatan dan seorang warganegara asing di Taman Kota Puteri, Masai pada Ahad lalu.

Pegawai Pemerintah Bn 5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, anggotanya telah menahan kesemua suspek berusia antara 36 hingga 40 tahun kira-kira jam 12 tenghari.

“Polis berjaya membuat rampasan 51 tong lutsinar berkapasiti 1,000 liter setiap tong, 4 mesin pam elektrik, minyak diesel bersubsidi anggaran jumlah keseluruhan 43,000 liter dan 2 set hos getah lutsinar,

“Turut dirampas sebuah sebuah treler tangki Volvo FM berkapasiti 40,000 liter, treler tangki berkapasiti 35,000 liter, treler tanker Hino 500 berkapasiti 25,000 liter dan sebuah lori 3 tan Hino Dutro,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas 2 mesin flow meter mendapati junlah diesel yang telah dipam ke dalam tanker telah melebihi 1 juta liter.

“Siasatan awal yang dilakukan juga mendapati suspek telah menjual minyak diesel dengan harga RM3.85 per liter kepada pengguna kapal disekitar Klang, Selangor,

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM1,427,350.00,” ujarnya.

Menurutnya, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor untuk tindakan lanjut serta kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket penyeludupan diesel bersubsidi disekitar Johor Bahru dan Klang, Selangor,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply