Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Radar Pengawasan ‘AV8 Gempita’ elemen penting kejayaan Op Benteng

Radar Pengawasan ‘AV8 Gempita’ elemen penting kejayaan Op Benteng

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=40Sg5kLnjxk[/embedyt]

 

OPERASI BENTENG (Op Benteng) yang dilaksanakan sejak Mei 2020 adalah bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) selain membantu kerajaan menangani penularan wabak COVID-19 di dalam negara.

National Task Force (NTF) telah mengaturgerakkan pelbagai agensi termasuk penggunaan aset yang sistematik bagi memperkasakan lagi operasi bersepadu ini dalam membanteras dan mengekang jenayah rentas sempadan.

Penggunaan sistem pengesanan radar Kenderaan Perisai 8×8 AV-8 Gempita oleh Rejimen Kedua Kor Armor Diraja (2 KAD) membantu serta dapat mempertingkatkan rutin harian pengoperasian Op Benteng di kawasan tanggungjawab.

Ketua Trup Pengawasan Gempita, Leftenan Muhammad Iqbal Ibrahim berkata, anggotanya diaturgerak ke Timur Johor bagi membantu mendapat dan menyalurkan maklumat penting terutamanya yang melibatkan aktiviti pencerobohan sempadan negara di kawasan operasi.

Beliau berkata, 2 KAD telah mengaturgerakkan beberapa buah Gempita iaitu AV8 Surveillance dan AV8 Command Vehicles pada kali ini.

“Gempita pengawasan mempunyai sistem optik dan radar yang membantu mendapatkan maklumat. Sistem optik yang digunakan berfungsi untuk mengesan apa sahaja objek yang kelihatan di dalam sistem radar,

“Manakala, sistem radar pula berfungsi untuk mengesan semua pergerakan yang ada didalam lokasi yang tetapkan sebagai sektor pengawasan,” katanya kepada AirTimes ketika ditemui.

Menurutnya, fungsi utama kedua-dua sistem ini adalah untuk pengawasan darat dimana ia berperanan untuk mengesan pergerakan ketumbukan musuh sekiranya di medan peperangan atau operasi.

“Dengan kemajuan teknologi yang kita ada sekarang ini sistem sebegini memainkan peranan yang sangat penting untuk berada di hadapan sekiranya dalam situasi peperangan,

“Untuk Op Benteng, kereta perisai Gempita pengawasan lebih berperanan kepada membantu pasukan induk untuk membanteras segala aktiviti rentas sempadan di tanah air,

“Dengan cara sistem ini bekerja kami diaturgerakan ke kawasan yang dikenal pasti untuk melaksanakan pengawasan dan sekiranya mendapati ada pergerakan yang mencurigakan, kami akan terus menyalurkan maklumat tersebut kepada pasukan induk atau Markas Taktikal,” jelasnya.

Radar pengawasan

Muhammad Iqbal menjelaskan, anggotanya akan diaturgerakkan setelah mendapat maklumat dan arahan dari pasukan induk (unit yang sedang melaksanakan operasi).

“Selepas mendapatkan maklumat saya akan memberikan taklimat pada semua anggota untuk membuat persiapan ke kawasan pengawasan,

“Apabila sampai di lokasi operasi, saya akan mengarahkan anggota saya untuk membuat penilaian terlebih dahulu di kawasan pengawasan sekiranya ada ancaman ataupun tidak,

“Sekiranya tiada, saya akan mengarahkan Ketua Kenderaan untuk membuat penilaian tanah terlebih dahulu sebelum Gempita pengawasan dibawa masuk. Selepas membuat penilaian, aset akan masuk dan terus parkir,

“Selepas itu anggota pengawal untuk dirikan pengawal bagi memastikan keselamatan kami sepanjang melaksanakan pengawasan ini terjamin dan selamat dari sebarang ancaman,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, Iqbal berkata, 2 kali anggota radar untuk melaksanakan rutin memasang radar dan membuka sistem sebagai permulaan pengoperasian tugas pengawasan.

“Membuka sistem mengambil masa lebih kurang 10 hingga 15 minit sebelum sistem ini berfungsi sepenuhnya,

“Selepas sistem dimulakan, aturgerak pengawasan akan bermula dengan menggunakan sistem radar yang ada dan juga sistem optik, bagi membuka sektor keluasan ataupun kelebaran kawasan yang dipertanggungjawabkan,” ujarnya.

Jelasnya, pengoperasian pengawasan ini biasanya akan dilaksanakan selama 6 jam sekali dengan penggunaan kuasa enjin kereta dan 6 jam menggunakan kuasa daripada generator yang dibawa.

“Anggota radar akan mengawal skrin radar serta optik dengan teliti sekiranya terdapat pergerakan yang mencurigakan,

“Apa sahaja pergerakan mereka akan melapor ke Ketua Kenderaan. Kemudian, Ketua Kenderaan akan melapor pada saya dan saya akan melaporkan pergerakan tersebut ke Markas Taktikal dengan menghantar laporan penuh,” tambahnya.

Sistem radar kesan pergerakan mencurigakan

Muhammad Iqbal menjelaskan sistem radar pada Gempita pengawasan ini mampu untuk mengesan pergerakan mencurigakan seperti bot PATI di kawasan perairan.

Menurutnya, sekiranya radar pengawasan telah mengesan pergerakan mencurigakan, anggota radar terlebih dahulu membuat analisa bagi menentukan bot tersebut adalah bot asing ataupun tidak.

“Selepas anggota mendapati pergerakan yang mencurigakan di atas laut atau pun sekiranya ada pergerakan bot yang mencurigakan angggota radar akan membuat penilaian terlebih dahulu,

“Kebiasaanya terdapat beberapa faktor yang kita akan pertimbangkan samada bot tersebut adalah ancaman atau pun tidak,

“Selepas kami menganalisa semua data ini kami akan masukan semua input Open Information Control System (OICS) dan seterusnya sistem ini akan menyalurkan maklumat kepada Command Work Station (CWS),

“Kemudian CWS menggunakan sistem yang sama akan terus menyalurkan maklumat ini kepada Armor Command Vehicles (ACV) yang berada di Markas Taktikal,” ujarnya.

Pengawasan kawasan operasi

Jelas Muhammad Iqbal, setelah Markas Taktikal mendapat maklumat tersebut, analisa seterusnya dibuat untuk mengesahkan pergerakan tersebut akan memberi ancaman atau sebaliknya.

“Sekiranya pergerakan tersebut tidak memberikan ancaman, pasukan akan membuat penilaian bahawa itu adalah pergerakan bot-bot nelayan atau pun bot-bot agensi awam yang lain,

“Kebiasaanya kita (pasukan operasi) tahu bot nelayan akan memasang lampu semasa mereka melaksanakan aktiviti mereka,

“Manakala bot untuk agensi awam akan sentiasa membuka lampu 3 warna bagi pengenalan agensi keselamatan lain yang sedang bertugas. Jadi, dari situ kita akan dapat tahu itu adalah bot agensi awam,

“Sebelum kita melaksanakan operasi kita sudah ditaklimatkan semua jenis varian bot-bot agensi-agensi awam yang lain seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) jadi ia bukan satu ancaman,” jelas Muhammad Iqbal.

Penggunaan Gempita releven tingkat keupayaan operasi

Mengulas lanjut, Iqbal menjelaskan, penglibatan kereta perisai ini sehingga kini masih relevan kerana ianya untuk memberikan bantuan yang sangat-sangat penting dan berkesan untuk pasukan induk yang beroperasi.

“Kadang-kala pasukan induk akan menghadapi sedikit masalah untuk mendapatkan maklumat di kawasan yang terperinci termasuk sektor-sektor yang kecil,

“Dengan adanya sistem ini memudahkan pasukan untuk pasukan induk mengaturgerakan pasukan mereka untuk membantas apa jua aktiviti yang melibatkan rentas sempadan.

Bantu pasukan kesan PATI

Sepanjang penglibatan Op Benteng, Iqbal menjelaskan, terdapat lebih kurang 10 kali tangkapan yang berjaya dilakukan hasil maklumat dari pengawasan yang dilakukan.

“Sejak mula operasi pada tahun 2020 sehingga kini terdapat hampir lebih kurang 10 kali tangkapan yang melibatkan maklumat yang kami berikan kepada Markas Taktikal,

“Kebiasanya maklumat yang diperolehi berkaitan dengan kemasukan PATI yang melibatkan pergerakan 10 orang PATI 10 ke atas,

“Selalu kami dapat kesan pergerakan yang besar dan dengan penyampaian maklumat yang diberikan kepada pasukan berjaya membantu mereka dalam melaksanakan Operasi Benteng di Selatan tanah air,” jelasnya. -airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply