Home Pertahanan dan Keselamatan Kursus Asas Combat Net Radio tingkat kompetensi anggota dalam aspek komunikasi taktikal

Kursus Asas Combat Net Radio tingkat kompetensi anggota dalam aspek komunikasi taktikal

by Air Times News Network

MELAKA, 25 Mac – Kursus Asas Combat Net Radio (CNR) Siri 1/2022 anjuran Skuadron Semboyan Briged Kesepuluh Infantri (10 Skn) PARA meningkatkan kompetensi anggota semboyan dalam aspek komunikasi taktikal.

10 Skn PARA dalam hantaran di media sosialnya berkata, seramai 21 anggota telah berjaya menamatkan kursus ini, hari ini.

“Kursus ini dilaksanakan selama 2 minggu bagi membolehkan anggota memahami dan menguasai aspek asas sebagai jururadio pasukan,

“Pelaksanaan kursus ini melibatkan kemahiran menggunakan prosedur suara, keselamatan komunikasi (KESKOM), pengendalian radio CNR dan senggaraan asas peralatan radio,” katanya.

Menurutnya, kursus CNR ini mempunyai Rancangan Pengurusan Latihan (RPL) khusus yang diiktiraf Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (MPLDTD) mengikut garis panduan Malaysian Army Standard (MASt) Pengurusan Kursus di pusat latihan.

Majlis penutup kursus CNR ini telah disempurnakan Ketua Staf Am 10 Briged (PARA), Leftenan Kolonel Mohd Khairulnizam Suliman.

“Kewajipan kita sebagai tentera untuk terus berlatih dan meningkatkan kemahiran bagi menggalas tugasan di pasukan, ilmu yang diperolehi ini harus dipraktik serta disebarkan demi kebaikan organisasi,” katanya dalam ucapan penutup majlis tersebut.

Pada kursus CNR kali ini, Koperal Mohamad Nadzir Mohd Yunus dari 9 Rajimen Askar Melayu Diraja (9 RAMD) (PARA) telah dinobatkan sebagai Penuntut Akademik Terbaik manakala Koperal Abdullah Mubaraq Ahmad Tarmizi dari 9 RAMD (PARA) telah menerima anugerah Penuntut Terbaik Keseluruhan. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply