KUALA LUMPUR, 13 Mac – Datuk Seri Najib Abdul Razak hari ini menegaskan kekalahan lawan dalam beberapa siri Pilihan Raya Negeri dan kecil termasuk di Johor adalah berpunca daripada kesilapan mereka sendiri.
Menurut beliau, situasi ini adalah berbeza dengan kempen oleh jentera Barisan Nasional yang memberi mesej kestabilan dan kemakmuran.
“Sepanjang 2 minggu ini, Barisan Nasional berkempen dengan 2 mesej sahaja kepada pengundi dan rakyat Johor,
“Pertamanya, pilih kestabilan. Undilah calon, undilah parti yang diyakini akan dapat memimpin Johor dan membentuk kerajaan,
“Tidak ada gunanya jika kita berpecah-pecah lagi dan berbalik kepada sebuah kerajaan yang tidak stabil,
“Keduanya, pilih kemakmuran. Ekonomi Johor telah mengalami kemerosotan dalam hampir kesemua aspek sejak 2018,
“Berbeza pula dengan kempen parti-parti lawan. Yang peliknya, mereka asyik sebut Najib, Najib, Najib,
“Cameron Highlands? Modal kempen mereka lawan Najib. Semenyih? Najib. Rantau? Najib. Tanjung Piai? Najib Kimanis? Najib. Chini? Najib. Slim? Najib. Melaka? Najib. Johor? Najib,” katanya dalam satu hantaran di akaun media sosial rasmi beliau.
Najib menambah, parti lawan gagal memberikan rancangan dan halatuju pembagunan mereka.
“Mungkin kerana mereka tahu mereka sudah tidak ada kredibiliti. Akhirnya, rakyat membuat penilaian,
“Kepada semua rakyat Johor, terima kasih,” ujarnya.
Beliau menambah, kemenangan BN di PRN Johor akan menjadi titik perubahan untuk memangkin pembangunan Malaysia. – airtimes.my