KUALA LUMPUR, 10 Feb – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini menegaskan kerajaan mesti membenarkan kempen terbuka sekiranya enggan menangguhkan Pilihanraya Negeri (PRN) Johor.
“Majlis Presiden memandang serius gelombang COVID-19 dengan varian Omicron yang sudah
bermula dengan jumlah kes mencecah 17,000 semalam,
“Demi memastikan keadaan ini tidak diperalatkan untuk tujuan politik maka Kerajaan harus pertimbang untuk menangguhkan PRN Johor,
“Sekiranya Kerajaan enggan menangguhkan dan ingin memberi kelonggaran seperti negara Barat maka kempen terbuka termasuk ceramah harus dibenarkan,” kata Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan.
Jelasnya, Perintah Kawalan Pergerakan penuh (total lockdown) tidak boleh dikenakan kerana terbukti gagal sebelum ini.
“Pakatan Harapan juga memberikan amaran agar Kerajaan tidak menyalahgunakan penguatkuasaan saman ke atas individu dan perniagaan,
“Tetapi sebaliknya memberi fokus kepada pendidikan dan kesedaran untuk menangani cabaran gelombang Omicron ini yang rata-rata bergejala ringan.
“Jangan lah kerana nak bunuh nyamuk, habis kelambu dibakar,” ujarnya.
Dalam kenyataan bersama oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (Keadilan); Mohamad Sabu (Amanah); Lim Guan Eng (DAP); dan Datuk Seri Madius Tangau, Majlis Presiden PH telah memutuskan untuk menyediakan siri tawaran di bawah kempen ‘Johor Bangkit: Maju, Bermaruah’.
“Ini merangkumi aspek pembangunan ekonomi, pemantapan sosial, serta reformasi politik yang akan diumumkan sebelum bermulanya kempen pilihan raya,
“Majlis Presiden juga memutuskan untuk mengadakan siri jelajah penamaan calon-calon PH bagi DUN-DUN yang ditandingi sejurus selepas calon parti-parti dimuktamadkan dalam masa terdekat,
“Ini demi menyatakan kesediaan PH menawarkan saf kepimpinan yang mampu membentuk kerajaan Negeri Johor yang lebih stabil dan bersedia membangunkan Johor pasca pandemik,” katanya.
PRN Johor akan berlangsung mulai 26 Februari dan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia telah menetapkan 12 Mac sebagai Hari Mengundi. – airtimes.my