Home Pertahanan dan Keselamatan Sewaan helikopter AW 139 kekalkan kompetensi juruterbang, kru Nuri – Hishammuddin

Sewaan helikopter AW 139 kekalkan kompetensi juruterbang, kru Nuri – Hishammuddin

by M.Daim

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=bDzSHmK3uaw[/embedyt]

 

BUTTERWORTH, 10 Feb – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menegaskan sewaan helikopter AW139 akan menjadi platform penting kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menurut beliau, perolehan AW139 secara sewaan dapat mengekalkan kompetensi juruterbang dan anak kapal Nuri yang telah ditamatkan operasi.

“Tiada apa yang lebih buruk daripada mempunyai juruterbang dan anak kapal tidak mampu untuk melaksanakan operasi penerbangan,

“Keberadaan mereka untuk berada dalam tentera udara adalah untuk melaksanakan misi penerbangan,

“Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mencari jalan bagi memastikan mereka berupaya untuk memenuhi tanggungjawab mereka,” kata Menteri Kanan Pertahanan semasa sidang media selepas melakukan lawatan ke Pangkalan Udara Butterworth, hari ini.

Tedahulu, Hishammuddin hadir ke Program Pengenalan Pesawat Helikopter AW 139.

Beliau menambah, kehadiran AW139 adalah bertujuan sebagai penyelesaian sementara berikutan penamatan operasi helikopter Nuri pada tahun 2019.

“Keperluan AW139 adalah bersandarkan kepada keperluan untuk menampung penugasan helikopter Nuri yang telah tamat operasinya,

“Jika tugas tersebut ditampung oleh EC725AP, ia akan membawa tekanan kepada operasi-operasi kita,” katanya.

Beliau menambah, AW139 akan mengurangkan penggunaan EC725AP dalam latihan dan operasi. Ini sekaligus dapat menjimatkan jam penerbangan EC725AP dan menjarakkan tempoh senggaraan.

“.Ini membolehkan kos operasi dan senggaraan Helikopter EC725AP dapat dikurangkan sepanjang tempoh sewaan Helikopter AW 139,” katanya dalam satu kenyataan.

Helikopter Nuri telah ditamatkan operasi selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 7 Ogos 2019.

Penamatan operasi helikopter ini sekaligu mengganggu peranan 12 buah EC725AP yang ditugaskan untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat tempur (Combat Search and Rescue, CSAR), Pengangkutan Udara Taktikal (Tactical Airlift) dan Utiliti.

AW139 diperoleh bagi menampung kekurangan tersebut dan Kerajaan Malaysia telah bersetuju penggantian Nuri dilaksanakan jangka pendek melalui kaedah sewaan.

Penyelesaian jangka sederhana akan dilakukan melalui perolehan helikopter baharu. Tegas Hishammuddin, perolehan AW139 dilakukan secara tender terbuka. – airtimes.my

Notis peringatan: Artikel dan berita eksklusif Air Times News Network tidak dibenarkan untuk diulang terbit, ulang siar, dan dicetak. Penggunaan sebagai konten Youtube termasuk skrip turut dilarang sama sekali.

 

Related Articles

Leave a Reply