Home Semasa Kluster baharu libatkan institusi pendidikan direkodkan di Sabah

Kluster baharu libatkan institusi pendidikan direkodkan di Sabah

by Nurulhuda

KOTA KINABALU, 8 Feb – Satu lagi kluster baharu COVID-19 melibatkan institusi pendidikan dilaporkan membabitkan seramai 18 orang pelajar asrama Sekolah Menengah (SM) Maktab Sabah, Sembulan, pada Isnin.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, berkata, Kluster Jalan Pintas Sembulan itu tercetus selepas kes indeks melibatkan seorang pelajar perempuan berumur 15 tahun dikesan positif COVID-19 melalui saringan bergejala pada 3 Februari lalu.

“Pelajar itu mula bergejala pada 3 Februari 2022 sebelum menjalani ujian RT – PCR pada hari yang sama dan didapati positif,

“Kes indeks sudah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) untuk dikuarantin dan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Masidi menjelaskan, seramai 79 orang kontak rapat sudah disaring dan 17 pelajar lagi didapati positif, menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi Kluster Jalan Pintas Sembulan itu seramai 18 orang, setakat ini.

“Bagaimanapun, mereka yang didapati positif adalah dalam kategori bergejala ringan (Kategori 2) dan telah dihantar ke pusat kuarantin dan menerima rawatan yang sesuai,” tambahnya.

Semalam, Sabah merekodkan sebanyak 1,600 kes baharu COVID-19, peningkatan 315 kes berbanding 1,285 kes kelmarin.

Bagaimanapun, tiada kes kematian disebabkan COVID-19 dilaporkan, manakala seramai 418 pesakit dilaporkan sembuh.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply