Home Semasa Siasat Azam Baki, bukan rakyat – Jawatankuasa Bertindak Perhimpunan Tangkap Azam Baki

Siasat Azam Baki, bukan rakyat – Jawatankuasa Bertindak Perhimpunan Tangkap Azam Baki

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Jan – Jawatankuasa Bertindak Perhimpunan Tangkap Azam Baki mendakwa siasatan yang dijalankan terhadap peserta perhimpunan tersebut merupakan satu bentuk intimidasi, keterlaluan dan membazir sumber pihak polis.

Menurut jawatankuasa tersebut, siasatan perlu dijalankan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan skandal saham yang dikatakan milik adik beliau.

Kenyataan tersebut dikeluarkan berikutan hampir 50 aktivis anak muda telah dan akan dipanggil oleh pihak polis untuk disoal siasat berkenaan perhimpunan #TangkapAzamBaki yang diadakan pada 22 Januari lalu di Bangsar.

“Itu sebenarnya tuntutan rakyat, bukan mereka yang hanya berhimpun secara aman menyatakan tuntutan yang sah,

“Sehingga sekarang masih tiada apa-apa penjelasan dari kenyataan yang bercanggah ini setelah lebih seminggu pendedahan dari Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC),” jelasnya dalam kenyataan pada Khamis.

Jawatankuasa itu turut menjelaskan, Azam Baki masih bebas di puncak kekuasaaan sedangkan intergriti beliau sedang dipersoal.

“Kepercayaan rakyat sedang terhakis dan semakin tidak percaya kepada siasatan SPRM serta diburukkan lagi dengan Indeks Persepsi Rasuah Malaysia 2021 yang jatuh ke tangga 62 berbanding tangga 51 pada tahun 2019,

“Ini sangat berbahaya kepada negara apabila agensi-agensi penguatkuasaan sepenting ini gagal memberi respon dengan jujur, telus dan cepat,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, jawatankuasa turut menggesa dengan tegas agar Azam Baki ditangkap supaya proses siasatan dapat dilakukan dengan segera.

“Selagi beliau masih berada di kerusi emas tersebut, selagi itu rakyat tidak mungkin percayakan SPRM untuk mencegah rasuah dan korupsi yang semakin membarah dalam negara,” tegas jawatankauasa itu.

Sabtu lalu, kira-kira 250 peserta berpakaian serba hitam berkumpul menyertai perhimpunan #TangkapAzamBaki yang diadakan pada jam 11 pagi.

Sebelum ini, jawatankuasa tersebut merancang untuk mengadakan perhimpunan di perkarangan pasaraya Sogo, namun setelah pihak polis membuat beberapa penutupan jalan di Kuala Lumpur, perhimpunan tersebut bertukar lokasi di LRT Bangsar.

Perhimpunan tersebut diadakan secara aman bagi menyatakan tuntutan rakyat supaya ditunaikan oleh Kerajaan Persekutuan untuk kepentingan rakyat dan negara.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply