JOHOR BAHRU, 19 Jan – Blok pembangkang terdiri dari pemimpin Pakatan Harapan (PH) Johor bersama parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), sepakat menolak sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dalam masa terdekat.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan secara bersama, blok pembangkang menegaskan, perlaksanaan PRN di negeri itu adalah satu tindakan yang tidak munasabah dan tidak mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri.
Menurut mereka, tiada keperluan mendesak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) ekoran kerjasama telah diberikan sepenuhnya terhadap kerajaan pimpinan Datuk Hasni Mohammad meskipun dengan perbezaan majoriti hanya satu kerusi.
“Hasil perbincangan bersama, blok pembangkang di Johor, kami menegaskan pendirian bahawa perlaksanaan PRN di negeri ini adalah suatu tindakan yang tidak mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri,
“Pembangkang menuntut kerajaan negeri menumpukan sepenuh usaha melawan wabak pandemik COVID-19 lebih-lebih lagi dengan kemunculan varian Omicron. Nyawa rakyat adalah utama,
“Selain itu, anggaran kos sebanyak RM150 juta diperlukan untuk membiayai PRN Johor. Blok pembangkang percaya bahawa ini hanya akan menjadi satu lagi pembaziran yang sangat besar dari kerajaan,
“Seharusnya, kerajaan dituntut menyalurkan segala sumber yang ada untuk melindungi kebajikan ekonomi rakyat, bukan kepentingan politik parti,” jelas kenyataan itu semalam.
Kenyataan tersebut dibuat bersama melibatkan Pengerusi Amanah Negara Johor, Datuk Aminolhuda Hassan; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan Pengasas MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Aminolhuda memaklumkan, pembangkang juga bersepakat untuk bersama-sama menawarkan komitmen kestabilan bagi memastikan kerajaan negeri dapat terus memberi sepenuh tumpuan terhadap kebajikan rakyat serta usaha-usaha memulihkan ekonomi negeri pada waktu sukar ini.
“Sebuah kerajaan yang bertanggungjawab adalah kerajaan yang mengutamakan rakyat. Atas dasar ini, blok pembangkang sebulat suara menolak sebarang usaha untuk mengadakan PRN Johor,” ujar mereka.
Terdapat 56 kerusi di DUN Johor dengan agihan terkini adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, Bersatu (11), MIC (2), Pas (1) sementara Amanah (6) dan PKR pula (7).
Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, selepas kematian ADUN Kempas, Allahyarham Datuk Osman Sapian pada Disember tahun lalu.-aitimes.my