LANGKAWI, 19 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Kedah dan Perlis telah menahan sebuah bot nelayan asing tanpa nombor pendaftaran atas pelbagai kesalahan di kedudukan lebih kurang 2 batu nautika barat laut, Tanjung Langgun, pada Ahad lalu.
Pengarah APMM negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, bot nelayan asing berwarna merah tanpa nombor pendaftaran itu, dikendalikan 3 kru warga Thailand berusia antara 21 hingga 49 tahun tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Sebaik menerima pengesanan bot tersebut dari radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA), sebuah aset APMM yang sedang melakukan rondaan telah diatur gerak ke lokasi kejadian dan mendapati sebuah bot dalam keadaan mencurigakan sedang leka menarik pukat,
“Hasil pemeriksaan, bot nelayan dikendalikan 3 kru warga Thailand berusia antara 21 hingga 49 tahun tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,
“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen kapal mendapati, tekong bot gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran yang sah dan disyaki telah melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Zawawi menjelaskan, bot yang berukuran lebih kurang 15 meter panjang dan 2.7 meter lebar bersama 10 kilogram hasil tangkapan seterusnya dirampas dan diiring masuk ke Jeti APMM, Bukit Malut untuk siasatan lanjut.
Tambahnya, kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.-airtimes.my