Home Semasa Gantung tugas Azam Baki hingga siasatan selesai – MCCF

Gantung tugas Azam Baki hingga siasatan selesai – MCCF

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 9 Jan – Pengerusi Malaysian Community Care Foundation (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak hari ini menegaskan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM), Tan Sri Azam Baki perlu direhatkan sementara siasatan dijalankan.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, isu pemilikan saham oleh Azam baki telah menjadi perhatian umum masyarakat Malaysia dan juga luar negara.

Menurut beliau, Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) sewajarnya bersuara dalam isu ini.

“Agak menghairankan kenapa Ketua Pengarah GIACC mengambil sikap berdiam diri dalam isu ini,

“Mungkin pihak GIACC wajar menasihatkan agar Azam Baki digantung tugas sehingga siasatan selesai,” katanya.

Beliau menambah, tindakan untuk menggantung tugas Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk sementara waktu adalah wajar bagi menjaga integriti organisasi itu.

“Ini juga adalah agar Pelan Anti Rasuah Nasional yang telah dilancarkan tidak akan terjejas akibat isu ini,” ujarnya.

Mengulas tindakan 6 ahli Lembaga Penasihat  Pencegahan Rasuah Malaysia (LPPR) yang menyangkal kenyataan pengerusinya, Halim menyatakan lembaga tersebut bebas bersuarakan pendapat.

“LPPR selaku badan pemantau bebas SPRM mestilah bebas suarakan pendapat tanpa takut kepada mana-mana pihak,” kata Halim.

Dalam pada itu, MCCF yang juga rakan gabungan Rasuah Busters turut menegaskan kerajaan perlu mengambil tindakan sewajarnya dalam isu ini.

“Isu berhubung Azam Baki mestilah disiasat oleh satu badan bebas (Select Committee Parlimen atau RCI) demi menjaga integriti SPRM yang kini menjadi perhatian dunia,

“Kita juga mahu tidak ada pihak yang mengambil kesempatan dan mengeksploitasi isu ini atas kepentingan parti politik mahu pun kepentingan diri sendiri,” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply