Home Semasa Tiada halangan untuk NGO bantu mangsa di Hulu Langat

Tiada halangan untuk NGO bantu mangsa di Hulu Langat

by M.Daim

SHAH ALAM, 24 Dis – Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat (PDTHL) hari ini menegaskan tiada halangan untuk mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi bantuan kepada penduduk terjejas banjir.

“Pihak kami tidak mengeluarkan sebarang pengumuman berhubung larangan menghalang mana-mana NGO untuk memberi bantuan sukarelawan kepada penduduk yang terkesan dengan bencana banjir di Daerah Hulu Langat,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pihak PDTHL telah bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengawal aliran trafik ke kawasan terbabit yang sebelum ini dilaporkan sesak.

“Peningkatan jumlah NGO yang menuju ke Hulu Langat telah menyebabkan kesesakan yang teruk,

“Keadaan ini telah melambatkan usaha agensi kerajaan untuk meneruskan kerja-kerja pembersihan jalan dan mengangkat keluar sampah-sampah ke pusat pelupusan yang telah ditetapkan,” katanya.

Jelas PDTHL, kawalan trafik dilaksanakan di 3 laluan akses masuk ke Mukim Hulu Langat iaitu Jalan Batu 9, Cheras, Jalan Bukit Ampang dan Jalan Sungai Tekali dari Pekan Semenyih.

Pada masa yang sama, pihaknya turut mengalu-alukan kehadiran mana-mana NGO atau sukarelawan yang memainkan peranan penting dalam meringankan beban mangsa banjir.

“Mana-mana NGO atau sukarelawan yang ingin memberi bantuan kerja-kerja pembersihan dimohon untuk menghubungi pegawai yang bertanggungjawab,

“Pegawai terbabit akan menyelaraskan agihan petugas-petugas di kawasan lokasi banjir Daerah Hulu Langat,” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply