Home Pertahanan dan Keselamatan ATM kerah 500 anggota, bantu pembersihan sekolah, rumah ibadat

ATM kerah 500 anggota, bantu pembersihan sekolah, rumah ibadat

by Nurulhuda

SHAH ALAM, 25 Dis – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini mengaturgerakkan seramai 391 anggota lagi sebagai usaha membantu kerja-kerja pembersihan di rumah ibadat dan sekolah yang terjejas di Taman Sri Muda dan Kampung Bukit Lanchong, hari ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM berkata, ia sebagai penambahan anggota, berbanding 109 petugas tentera di kawasan berkenaan sebelum ini.

Beliau menjelaskan, turut dikerahkan beberapa aset termasuk Back Hoe’dan Tipper, manakala penyelarasan bantuan dijalankan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Untuk di kawasan Taman Sri Muda ini dan Kampung Bukit Lanchong, kita dalam proses bantuan Pasca Banjir,

“Kita aturgerakkan adalah Back Hoe dan Tipper serta aset tambahan lain yang sesuai. Penumpuan diberikan kepada fasiliti awam seperti rumah ibadat dan sekolah-sekolah yang terjejas teruk,” katanya pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Taman Sri Muda, pada Sabtu.

Sementara itu, mengulas situasi banjir di Pahang, Affendi berkata, pihaknya ketika ini memberi fokus bantuan mangsa banjir di Mentakab dan Karak.

Katanya, beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut meninjau dan melawat kawasan berkenaan semalam.

“Dalam pada itu, kita turut atur gerak anggota di kawasan lain di negeri berkenaan termasuk Maran, Kuantan, Raub, Kuala Lipis, Jerantut, Temerloh, Pekan, Bentong dan Bera,

“Atur gerak ATM membabitkan 16 pegawai dan 206 anggota di seluruh negeri berkenaan,

“Pada masa ini, ATM di Pahang banyak menggerakkan aset mempunyai mobiliti lasak dan sesuai digunakan bagi tujuan pengangkutan seperti trak 7 dan 3 tan yang boleh meredah banjir, selain penggunaan bot tempur ATM,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Affendi menjelaskan, ATM masih mengekalkan kekuatan 63 pegawai dan 856 anggota termasuk kumpulan sokongan menerusi Op Murni di seluruh negara.

Selain itu, beliau menegaskan, sebuah kompeni (pasukan) yang terdiri daripada 5 pegawai dan 97 anggota yang diletakkan dalam keadaan kesiapsiagaan di setiap negeri untuk digerakkan ke lokasi terjejas banjir apabila terdapat keperluan tambahan.

“ATM sentiasa komited dalam melaksanakan tugas sekunder yang juga adalah antara peranan yang kita laksanakan, selain memikul tugas utama menjaga kedaulatan tanah air,

“Dalam menangani krisis seperti ini, ATM lebih melihat kepada kesepaduan antara agensi dengan meletakkan kepentingan keselamatan mangsa sebagai keutamaan,” tambahnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply