Home Pertahanan dan Keselamatan APMM cekup 23 nelayan Vietnam curi hasil laut negara

APMM cekup 23 nelayan Vietnam curi hasil laut negara

by Nurulhuda

PASIR PUTEH, 24 Dis – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan 2 bot bersama 23 nelayan warga Vietnam yang menjalankan aktiviti menangkap ikan secara haram di lokasi 86 kilometer dan 90.4 kilometer dari Kuala Tok Bali, pada Rabu lalu.

Timbalan Pengarah Operasi APMM Kelantan, Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin berkata, pemeriksaan kedua-dua bot telah menemui lebih kurang 1,000 kilogram pelbagai ikan dan bekalan diesel lebih kurang 1,700 liter.

Beliau berkata, bot pertama yang dinaiki seramai 17 awak-awak dan seorang tekong ditahan pada pukul 1.30 tengah hari.

Manakala, bot kedua pula ditahan pada pukul 2.15 petang yang dikendalikan oleh 4 awak-awak dan seorang tekong kira-kira 4.4 kilometer dari bot pertama.

“Kesemua 23 kru yang ditahan merupakan warga Vietnam berumur dalam lingkungan 18 hingga 47 tahun, tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,

“Pemeriksaan juga mendapati, kedua-dua bot tidak memiliki permit untuk menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985,” jelas APMM dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Khairun Dalilah, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, hasil ikan seberat 1,000 kilogram, minyak diesel sebanyak 1,700 liter dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai RM3 juta.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 16(3) akta yang sama kerana gagal memberitahu pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel, dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!