Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut ‘RENCONG’, Kapal Misi Persisir ke-4 milik TLDM

‘RENCONG’, Kapal Misi Persisir ke-4 milik TLDM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 18 Dis – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menamakan Kapal Misi Pesisir (LMS) keempat sebagai RENCONG bersempena nama salah sebuah kapal ronda Kelas KRIS yang telah dilucut tauliah pada tahun 2005.

TLDM dalam kenyataan berkata, penggunaan nama Rencong ini merupakan senjata tradisional Melayu, turut melambangkan simbol semangat kepahlawanan, perjuangan, keberanian dan kekuatan dalam menentang serta menangkis serangan musuh.

Rencong merupakan kapal LMS keempat TLDM yang akan menyertai Skuadron LMS Ke-11 yang berpangkalan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

Menurut TLDM, upacara penyerahan kapal tersebut telah dilaksanakan di Limbungan Wuchuan, Pelabuhan Wucang, Qidong, Nantong City, China, hari ini.

“Upacara Penyerahan Fizikal dan Penamaan LMS keempat diadakan serentak dan disempurnakan oleh Sutinah Mohamad, isteri kepada Ketua Projek Pasukan Projek LMS,

“Manakala Penasihat Pertahanan di Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Republik Rakyat China, Laksamana Pertama Zahid Abd Aziz telah mewakili kerajaan Malaysia bagi menandatangani Sijil Penyerahan Fizikal Rencong itu,” jelas kenyataan itu.

Tambahnya, Rencong mula dibina pada 18 September 2019 dan telah dilancarkan ke permukaan air pada 16 Disember 2020 oleh Pasukan Projek LMS TLDM di Wuhan.

“Jawatankuasa Penerimaan Akhir (JKPA) Rencong dianggotai seramai 3 orang wakil Kerajaan yang diketuai oleh Laksamana Pertama Zahid bin Abd Aziz telah melaksanakan pemeriksaan dokumentasi, pemeriksaan fizikal dan turut mengikuti pelayaran demontrasi keupayaan kapal,

“Selesai pemeriksaan, upacara menandatangani Sijil Penerimaan Akhir dan Sijil Penyerahan Fizikal sebagai simbolik kepada kejayaan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) menyerahkan kapal kepada kerajaan telah disempurnakan oleh Laksamana Pertama Zahid bin Abd Aziz yang mewakili kerajaan Malaysia dan TLDM,” ujarnya.

Untuk rekod upacara Penamaan dan Pelancaran KD KERIS disempurnakan oleh Normah Alwi iaitu isteri kepada mantan Menteri Pertahanan Malaysia pada 15 April 2019 manakala KD SUNDANG disempurnakan oleh Datin Hajah Rusnah A. Rahman iaitu isteri kepada mantan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Ke-20 pada 12 Julai 2019.

Sementara itu, penamaan KD BADIK pula telah disempurnakan oleh Rohana Osman iaitu isteri kepada Penasihat Pertahanan di Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Republik Rakyat China pada 14 September 2021. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply