Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara 193 Pegawai Kadet PALAPES Udara ditauliahkan

193 Pegawai Kadet PALAPES Udara ditauliahkan

by Air Times News Network

SENDAYAN, 2 Dis – Seramai 193 Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Udara siri 39/20 berjaya menamatkan latihan asas ketenteraan dengan menerima pertaulihan sebagai Pegawai Muda dalam Angkatan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan pangkat Leftenan Muda.

Majlis Pentauliahan Pegawai Kadet PALAPES Udara Universiti Awam ini telah disempurnakan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad TUDM di Dewan Banquet, Wisma Perwira, Pangkalan Udara Sendayan, semalam.

“69 pegawai kadet lelaki dan 124 pegawai kadet wanita terdiri daripada Pegawai Kadet Udara universiti awam daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) serta Universiti Malaysia Pahang (UMP),

“Kesemua Pegawai Kadet Udara berkenaan telah menjalani latihan asas ketenteraan merangkumi latihan tempatan, berterusan dan kem tahunan selama 3 tahun dan telah menempuh pelbagai pahit getir serta cabaran demi mencapai satu impian serta cita-cita untuk menjadi seorang pegawai dalam Angkatan Sukarela TUDM,” kata TUDM dalam kenyataan pada Rabu.

Pegawai Kadet Terbaik dari USM ialah Leftenan Muda  Daniel Ma’arof PSSTUDM. Foto: TUDM

Menurut TUDM, Majlis Angkatan Tentera ke-589 bertarikh 24 Nov 20 telah memperakukan Penganugerahan Tauliah Pasukan Simpanan Sukarela TUDM (PSSTUDM) dengan pangkat Leftenan Muda PSSTUDM, tarikh kekananan mulai 24 Nov 20.

“Perakuan ini telah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 24 Nov 20,

“Dengan pengisytiharan tersebut, secara rasminya Pegawai Kadet PALAPES Udara menjadi pegawai muda Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia dengan pangkat Leftenan Muda PSSTUDM (LtM PSSTUDM),” ujarnya.

Leftenan Muda Siti Nabihah binti Kamaruzuki PSSTUDM dari UIAM dianugerahkan Pegawai Kadet Terbaik

Ackbal dalam ucapannya turut menzahirkan rasa bangga dan menyeru pegawai kadet untuk memikul tanggungjawab yang besar dalam meneruskan evolusi serta reputasi kecemerlangan di dalam TUDM.

Beliau turut menekankan bahawa latihan asas yang telah dijalani di pasukan PALAPES Udara di univerisiti awam masing-masing, telah berjaya mendidik serta memupuk semangat setia kawan, semangat juang serta jati diri yang tinggi di dalam sanubari seorang pegawai sukarela TUDM.

Leftenan Muda Muhammad Farizuan Kamaruzzaman PSSTUDM dari UniSZA dianugerahkan Pegawai Kadet Terbaik

“Pegawai muda PSSTUDM perlu memelihara maruah, disiplin diri, imej serta nama baik perkhidmatan,

“Mereka juga haruslah berpegang teguh kepada etika, peraturan dan undang-undang sedia ada di samping menjauhi dan mengelakkan diri daripada terlibat dengan perkara-perkara yang tidak sihat serta menyalahi undang-undang seperti penglibatan dengan najis dadah, pencemaran nilai integriti, menyalahguna platform laman sosial serta bertanggungjawab dalam menjaga kerahsiaan negara,” jelasnya.

Leftenan Muda Muhammad Asyhraf Mohd Nazri PSSTUDM dari UMP turut dianugerahkan Pegawai Kadet Terbaik

Pada majlis tersebut, Ackbal menyempurnakan penyampaian Anugerah Pegawai Kadet Terbaik daripada 4 buah universiti.

“Pegawai Kadet Terbaik dari USM ialah Leftenan Muda  Daniel Ma’arof PSSTUDM; Leftenan Muda Siti Nabihah Kamaruzuki PSSTUDM dari UIAM; Leftenan Muda Muhammad  Farizuan Kamaruzzaman PSSTUDM (UniSZA) dan Leftenan Muda  Muhammad  Asyhraf Mohd Nazri PSSTUDM pula dari UMP,” ujarnya.

Selain itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada masa kini sedang menumpukan bidang kepakaran baharu khususnya seperti kejuruteraan satelit, keselamatan siber, integrasi sistem, pengkomputeran awan dan data besar (cloud computing and big data) untuk menghadapi ancaman masa kini dan masa hadapan.

“Kerajaan akan terus meningkatkan peranan angkatan sukarela selaras dengan keperluan semasa sebagai pelengkap dan sebahagian penting ATM dan tidak lagi dianggap sebagai aset yang hanya boleh dikerah semasa konflik,” katanya lagi. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply