TAWAU, 2 Dis – Seorang ejen warga tempatan bersama 5 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia telah ditahan ketika menceroboh masuk ke Sabah secara haram di perkampungan rumah atas air Kampung Hidayat, Batu 4 Jalan Apas, pada Rabu.
Kumpulan PATI tersebut terdiri daripada seorang lelaki berusia 57 tahun, 2 wanita masing-masing berusia 17 dan 47 tahun, 2 kanak-kanak lelaki berusia 9 bulan serta 3 tahun.
Markas Angkatan Bersama (MAB) dalam satu kenyataan berkata, kesemua individu terbabit telah ditahan anggota yang menjalankan rondaan Operasi Benteng (Op Benteng) di Jalan Apas Batu 3 pada jam 8.10 malam.
“Tim Quick Reaction Force (QRF) telah mengesan sebuah bot yang mencurigakan merapat ke perkampungan rumah atas air Kampung Hidayat, Batu 4 Jalan Apas,
“Sebuah kenderaan MPV jenis Toyota Avanza yang digunakan oleh ejen untuk mengangkut PATI turut dikesan berada di lokasi berhampiran,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, tim QRF di bawah kawalan Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) telah mengekori kenderaan tersebut sebelum melakukan penahanan.
“Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan membawa seorang rakyat tempatan berusia 30 tahun menjadi ejen penyeludupan PATI,
“5 warga Indonesia yang berada dalam kenderaan sama juga didapati tidak memiliki sebarang dokumen yang sah,” jelasnya.
Tambah kenyataan itu, maklumat awal dari tahanan mendedahkan perjalanan mereka ke Kampung Hidayat telah diatur oleh agen dari Pulau Sebatik.
Kesemua individu terbabit telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk tindakan lanjut.
Manakala, rakyat Malaysia berusia 30 tahun yang terlibat dalam penyeludupan PATI akan didakwa mengikut Seksyen 2, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007. – airtimes.my
Gambar galeri: