SEOUL, 3 Nov – Syarikat Korea Aerospace Industries Ltd (KAI) dilaporkan sedang membida perolehan 10 jet latihan bernilai US$500 juta di Slovakia.
Perkara tersebut dinyatakan oleh pihak Pentadbiran Program Pemerolehan Pertahanan (Defense Acquisition Program Administration, DAPA) Korea Selatan.
Menurutnya, KAI akan menandatangani aturan bersama syarikat pertahanan kerajaan Slovakia, LOTN.
“Aturan tersebut akan memastikan kerjasama bilateral dalam pasaran eksport FA-50 berjalan lancar,” kata DAPA yang dipetik oleh media Korea Selatan.
Difahamkan, perjanjian tersebut akan ditandatangani pada hari ini di Slovakia dan dihadiri oleh Menteri Pemerolehan Pertahanan, Kang Eun-ho.
Slovakia pada ketika ini sedang melaksanakan projek perolehan aset baharu bagi menggantikan pesawat latihan L-39. Negara Eropah tersebut dijangka akan memulakan proses perolehan menjelang pertengahan tahun 2023.
FA-50 merupakan varian tempur pesawat latihan T-50 yang dikeluarkan oleh KAI. Jet pejuang ini dibangunkan melalui kerjasama antara KAI dan Lockheed Martin. Ia berupaya untuk memenuhi peranan sebagai pesawat latihan dan tempur. – airtimes.my