Home Pertahanan dan Keselamatan Eksesais RHINO TAC uji keupayaan taktikal 3 Divisyen

Eksesais RHINO TAC uji keupayaan taktikal 3 Divisyen

by Air Times News Network

MELAKA, 3 Nov – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah melaksanakan Eksesais RHINO TAC Siri 3/2021 di sekitar Kem Sungai Udang baru-baru ini.

Markas 3 Divisyen melalui hantaran media sosial rasminya berkata, latihan yang berlangsung bermula 29 Oktober hingga 7 November ini telah melibatkan seramai 55 pegawai dan 413 anggota.

Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim berkata, beliau berhasrat menubuhkan Markas Taktikal Divisyen dan Kawasan Senggaran Divisyen (KSD) secara serentak bersama dengan Eksesais SATRIA GAGAH yang dilaksanakan oleh formasi Briged Pertama Infantri Malaysia (1 Bgd) di Pusat Olah Perang Tentera Darat (POP TD).

Tambahnya lagi, latihan yang dijalankan adalah bagi melatih dan menguji keupayaan pegawai serta anggota dalam aturgerak menubuhkan Markas Taktikal Divisyen dan KSD serta mengemaskini TTP dan Prosedur Tetap (PROTAP) MK 3 Div agar seiring dengan doktrin yang ditetapkan oleh TDM.

“Latihan ini adalah sejajar dengan hasrat Pelan Penjajaran dan Persepadanan Panglima 3 Div dalam mendukung Tonggak Pertama Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Kelangsungan Misi dan Kesiagaan melalui penumpuan terhadap peningkatan tahap kesiagaan, kompetensi dan aset TDM,” katanya.

Menurutnya lagi, beliau berharap latihan yang dijalankan dapat mencapai sepenuhnya objektif yang digariskan serta mendatangkan manfaat kepada semua lapisan anggota agar setiap kekurangan dikenalpasti, ditambahbaik, serta dipertingkatkan lagi daya kemampuannya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply