Home Semasa Malaysia tidak mampu tampung lebih ramai lagi pelarian Rohingya – Timbalan Menteri Luar

Malaysia tidak mampu tampung lebih ramai lagi pelarian Rohingya – Timbalan Menteri Luar

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar hari ini menegaskan Malaysia telah berulang kali menyatakan negara tidak mampu menampung lebih ramai lagi pelarian Rohingya.

Menurut beliau, perkara tersebut telah disuarakan kepada komuniti antarabangsa berhubung krisis pelarian Rohingya di rantau ini.

“Malaysia turut berulang kali menegaskan bahawa negara kita tidak mampu menampung lebih ramai lagi pelarian Rohingya dan menyeru masyarakat antarabangsa tampil membantu mencari jalan penyelesaian yang berkekalan,

“Perkara ini turut dibangkitkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri semasa mesyuarat-mesyuarat ASEAN berkaitan termasuk semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke 38 dan 39 yang diadakan pada 26 hingga 28 Oktober yang lalu,” kata Kamarudin di Dewan Rakyat.

Jelasnya, Malaysia merupakan negara anggota ASEAN yang paling terkesan oleh isu pelarian etnik Rohingya ini.

“Kerajaan Malaysia akan terus berusaha untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik dalam menangani isu Rohingya, termasuk melalui mekanisme ASEAN,

“Dalam mesyuarat-mesyuarat ASEAN, Malaysia sering kali menggariskan kepentingan ASEAN menggesa Myanmar menangani krisis kemanusiaan di Wilayah Rakhine,” ujarnya.

Kamarudin menambah, Malaysia tegas menggesa Myanmar melaksanakan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh ASEAN-Emergency Response and Assessment Team (ASEAN-ERAT) dan melaksanakan Penilaian Keperluan Komprehensif (Comprehensive Needs Assessment – CNA)

“Ini untuk memastikan proses repatriasi pelarian Rohingya dari Bangladesh ke Myanmar dilaksanakan secara sukarela, selamat dan bermaruah serta mengurangkan jumlah pelarian yang membuat perjalanan lanjutan ke Malaysia,” katanya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply