KUALA LUMPUR, 18 Okt – Syarat Suruhan Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan hanya individu lengkap vaksin COVID-19 dibenarkan mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, 20 November ini disifatkan sebagai melanggar prinsip Perlembagaan Persekutuan.
Menerusi satu kenyataan bersama, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berkata, tindakan itu berkemungkinan melanggar Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan berhubung kelayakan pemilih.
“Majlis Presiden kurang bersetuju dengan pengumuman SPR berhubung PRN Melaka hari ini,
“Kami turut kesal dengan kenyataan Pengerusi SPR seperti yang dilapor media bahawa hanya pengundi yang sudah lengkap dua dos vaksin boleh keluar mengundi, dan berpandangan bahawa tindakan tersebut berkemungkinan melanggar Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan berhubung kelayakan pemilih,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti AMANAH, Mohamad Sabh; Setiausaha Agong DAP, Lim Guang Eng dan Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau.
Majlis itu berpendapat, sungguhpun PH menyokong penuh usaha pemberian vaksinasi kepada semua, ia tidak boleh dijadikan alasan tindakan diskriminasi ke atas mereka yang belum lengkap 2 dos, dan tindakan menghalang ini berkemungkinan tidak sah dari segi undang-undang.
“Kami menggesa SPR untuk mengkaji semula bagi memastikan semua warganegara yang layak menjadi pemilih berdasarkan Perlembagaan Persekutuan boleh keluar mengundi sekiranya PRN Melaka ini diteruskan,” tambahnya.
Malah, mereka turut berpandangan bahawa waktu ini bukan masa paling sesuai untuk mengadakan PRN memandangkan penularan wabak COVID-19 baru menunjukkan trend penurunan, sektor-sektor ekonomi baru dibuka semula dan kerisauan berlakunya gelombang keempat.
“Kami turut risau jika PRN diteruskan, prosedur operasi standard (SOP) berkempen yang akan diguna pakai mungkin mewujudkan keadaan yang tidak adil atau berat sebelah bagi sesetengah pihak,
“Bagaimanapun, PH akan meneruskan segala persiapan termasuk kemungkinan menghadapi PRN Melaka,” tambahnya.
Selain itu, majlis tersebut turut mengesahkan bahawa PH Melaka melalui Pengerusinya, Adly Zahari akan memfailkan satu injunksi mahkamah berhubung pembubaran DUN Melaka pada Rabu ini.
“Satu sijil perakuan segera (certificate of urgency) telah turut difailkan agar perkara ini dapat disegerakan, memandangkan Notis Pembubaran DUN Melaka hanya dikeluarkan pagi tadi,
“Majlis Presiden menyokong penuh tindakan mahkamah yang diambil Pakatan Harapan Melaka,” ujarnya.
Sementara itu, Majlis Presiden PH turut berpendirian bahawa pembubaran DUN Melaka telah dilakukan berdasarkan nasihat yang salah di mana Yang di-Pertua Negeri Melaka seharusnya mengikuti duluan di peringkat Persekutuan.
Mereka turut berpendirian bahawa Datuk Seri Sulaiman Md Ali tidak sepatutnya dinamakan sebagai Ketua Menteri sementara (caretaker) memandangkan beliau telah hilang sokongan majoriti sebelum pembubaran DUN Melaka berlaku. -airtimes.my