KEMAMAN, 18 Okt – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kemaman berjaya menahan sebuah kapal tangki bersama muatan diesel tanpa dokumen pelepasan pelabuhan di perairan Kemaman, Sabtu lalu.
Pengarah APMM, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, kapal tersebut telah ditahan sekitar jam 10.45 malam ketika bot ronda sedang melaksanakan rondaan di sekitar perairan Terengganu dan telah mengesan sebuah kapal dalam keadaan mencurigakan di sekitar 8.3 batu nautika dari Kuala Kemaman.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas Kapten serta kru kapal telah gagal mengemukakan dokumen pelepasan pelabuhan yang sah.
“Kapal yang didaftarkan di Port Klang itu ditahan dan dibawa ke tempat berlabuh,
“Manakala Kapten bersama 4 kru dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut,” katanya.
Tambahnya lagi, kesemua kru termasuk Kapten yang terdiri daripada 4 warga tempatan dan seorang warga Indonesia berumur 29 hingga 68 tahun memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967, jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 dan penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.
Menurut beliau, pihaknya memandang serius perkara ini dan akan sentiasa meningkatkan pemantauan ke atas kapal-kapal yang berada di perairan negara bagi memastikan mereka sentiasa mematuhi undang-undang negara. -airtimes.my