Home Semasa Tanah runtuh Kemensah Heights: Pembinaan cerucuk besi perlu disegerakan: Azmin

Tanah runtuh Kemensah Heights: Pembinaan cerucuk besi perlu disegerakan: Azmin

by Bernama

KUALA LUMPUR, 18 Sept – Pembinaan cerucuk besi perlu dilaksanakan segera di kawasan yang terlibat dengan insiden tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights di sini bagi menahan sebarang pergerakan tanah di kawasan cerun runtuhan itu.

Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bagi tujuan itu pihaknya telah meminta pertimbangan dan peruntukan sebanyak RM1 juta daripada Kementerian Kewangan.

“Jika diikutkan kawasan ini merupakan tanah persendirian, jadi kerja-kerja membaik pulih mengikut undang-undang perlu dilakukan oleh pemilik tanah sendiri. Namun kali ini nyawa rakyat lebih menjadi keutamaan jadi saya telah hubungi Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk tujuan itu,

“Kita perlu menyegerakan cerucuk besi untuk hentikan pergerakan tanah di lokasi kejadian. Seperti yang kita tahu bahawa kawasan seperti Ampang dan Bukit Antarabangsa merupakan kawasan berisiko berlaku runtuhan tanah,“ katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi runtuhan itu.

Dalam kejadian malam tadi, tiga rumah banglo dan 16 rumah bandar (townhouse) membabitkan 32 keluarga terjejas berikutan insiden tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights, namun ia tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata pihaknya dimaklumkan sejumlah 16 rumah bandar yang berdekatan dengan kawasan tanah runtuh terbabit sedang menunggu laporan penuh teknikal untuk disiapkan Jabatan Mineral dan Geosains.

“Ia memerlukan tiga hari untuk laporan teknikal itu dikeluarkan bagi memastikan sama ada kawasan rumah mereka itu selamat untuk didiami atau tidak.

“Setakat ini dimaklumkan struktur rumah terbabit masih kukuh dan tiada sebarang pergerakan dan penduduk akan dibenarkan pulang sekiranya laporan mengatakan ia selamat untuk kembali diduduki,“ katanya.

Beliau berkata kebanyakan penduduk terlibat telah dipindahkan ke Dewan Orang Ramai di AU2 dan AU5 Lembah Keramat. -Bernama

Related Articles

Leave a Reply