Home Pertahanan dan Keselamatan AUKUS: Hormati hak ASEAN sebagai zon berkecuali – Ismail Sabri

AUKUS: Hormati hak ASEAN sebagai zon berkecuali – Ismail Sabri

by M.Daim

PUTRAJAYA, 18 Sept – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan hak rantau ASEAN sebagai zon bebas dan berkecuali (ZOFPAN) dihormati.

Beliau menyatakan perkara tersebut kepada Perdana Menteri Australia, Scott Morrison dalam satu panggilan telefon, semalam.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, Australia telah memberikan penjelasan berhubung penubuhan pakatan AUKUS baru-baru ini.

“Perdana Menteri mengambil maklum perkara tersebut dan menegaskan pendirian Malaysia terhadap penubuhan AUKUS ini,

“Beliau turut menyuarakan kegusaran terhadap kerjasama AUKUS ini yang bakal memangkin perlumbaan persenjataan nuklear di rantau Indo-Pasifik,” kata kenyataan itu.

Selain daripada itu, Ismail Sabri menyuarakan kebimbangan akan memprovokasi kuasa- kuasa lain untuk turut bertindak lebih agresif di rantau ini terutamanya di Laut China Selatan.

” Selain daripada itu, Perdana Menteri turut menekankan kepentingan menghormati dan mematuhi pendirian dan pendekatan sedia ada negara terhadap kapal selam berkuasa nuklear yang beroperasi di perairan Malaysia,

“Ini termasuk di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Undang-Undang Laut 1982 (United Nations Convention on the Law of the Sea -UNCLOS) dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (Southeast Asia Nuclear Weapons Free Zone – SEANWFZ),” jelas kenyataan itu.

Pada masa yang sama, Ismail Sabri dan rakan sejawatannya dari Australia telah bersetuju memperkukuhkan kerjasama dan konsultasi dalam pelbagai aspek, termasuk dalam bidang pertahanan dibawah Perkongsian Strategik Komprehensif (Comprehensive Strategic Partnership). – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply