Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat 21 PATI Indonesia baru mendarat kena cekup Tentera Darat

21 PATI Indonesia baru mendarat kena cekup Tentera Darat

by Air Times News Network

BANDAR PENAWAR, 3 Sept – Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menahan 21 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dalam Operasi Benteng (Op Benteng) dikawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd), pagi tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataan berkata, penahanan kira-kira jam 4.30 pagi itu dibuat hasil laporan anggota Pos Pemerhati yang mengesan pergerakan bot mencurigakan di kawasan Bio-Desaru.

Menurutnya, hasil maklumat tersebut, pasukan telah menghantar Tim Quick Reaction Force (QRF) ke kawasan berkenaan dan penjejakan telah dilakukan sehingga berjaya menahan seramai 21 PATI sedang bersembunyi di tepi pantai Jalan Tanjung Balau – Sedili Kecil.

“Kesemua PATI tersebut terdiri daripada 15 lelaki dan 6 wanita berumur 19 hingga 44 tahun dipercayai baru saja tiba ke Malaysia melalui jalan yang tidak sah,

“Nilai rampasan dianggarkan RM11,520 melibatkan mata wang Malaysia RM 1,430, matawang Indonesia IDR11,562 (RM3,370.60) dan 21 telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kesemua PATI dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Setia Tropika, Kempas.

“Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai dan pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF menjejak kemungkinan saki baki pendatang asing di sekitar kawasan tangkapan,” ujarnya.

Pada masa sama, TDM bekata pihaknya akan sentiasa bersedia mengawal dan meningkatkan lagi kesiagaan serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melakukan jenayah dan membolosi sempadan negara.

“Kerjasama agensi dalam Op Benteng akan terus dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan perairan dan daratan negara bebas daripada aktiviti yang boleh mengancam keselamatan mahupun aktiviti yang menyalahi undang-undang,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply