Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Allahyarham Mohamad Azrin dinaikkan pangkat Koperal

Allahyarham Mohamad Azrin dinaikkan pangkat Koperal

by Nurulhuda

SUNGAI PETANI, 2 Sept – Tentera Darat Malaysia (TDM) menganugerahkan kenaikkan pangkat Koperal kepada Allahyarham Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa, anggota Markas 10 Briged PARA yang lemas ketika menyertai Latihan Eksesais Para Predator di Sungai Pahang.

Kenaikan pangkat Mohamad Azrin diumumkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain selepas istiadat pengebumian selesai dilaksanakan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang Dalam, tengah hari tadi.

Zamrose berkata, sebagai menghargai khidmat Allahyarham, TDM memberi anugerah pangkat secara ‘Posthumous’ kepada arwah berkuat kuasa serta merta.

“Kita sentiasa mengambil berat kebajikan setiap anggota terutama yang terkesan dengan insiden kemalangan atau kematian,

“Tidak kira sama ada kejadian berlaku ketika melaksanakan tugas, operasi atau latihan kita tetap akan menjaga kebajikan anggota,” katanya pada sidang media, hari ini.

Selain kenaikan pangkat, TDM turut memberi faedah kelayakan kematian kepada balu, anak dan ahli keluarga.

Allahyarham Koperal Mohamad Azrin yang berkhidmat bersama TDM sejak 7 tahun lalu meninggalkan balu, Nor Aqila Syafiqa Safuan (23) dan bayi perempuan berusia sembilan bulan.

Terdahulu, jenazah Allahyarham selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang Dalam di sini, pada 1.45 tengah hari.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham dibawa ke Surau Al Firdaus, Taman Desa Aman pada 12.40 tengah hari untuk disembahyangkan.

Allahyarham, Mohamad Azrin (27) merupakan anggota tinjau daripada pasukan Kompeni PANDURA (PARA) dipercayai lemas dan hilang ketika menjalani latihan Eksesais PARA Predator Siri 1/2021 pada Ahad lepas.

Semasa kejadian, Mohamad Azrin sedang melaksanakan fasa latihan taktikal menyeberangi sungai di sekitar kawasan Kampung Batu Bor.

Mayat Allahyarham ditemukan oleh penduduk kampung di kawasan Kampung Serengkam, Maran, kira-kira 70 kilometer dari lokasi kejadian pada jam 8.15 pagi, semalam. airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply