Home Ekonomi Serba Dinamik di landasan yang betul atasi isu audit – Pengarah

Serba Dinamik di landasan yang betul atasi isu audit – Pengarah

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Pengarah bebas bukan eksekutif Serba Dinamik Holdings Berhad (Serba Dinamik), Datuk Abdul Kadier Sahib menegaskan syarikat itu berada di landasan yang betul untuk mengatasi kemelut audit.

Menurut beliau, Serba Dinamik telah mengambil langkah yang tepat dalam isu ini termasuklah melakukan pelantikan barisan pengarah bebas baharu pada awal Julai lalu.

“Pengarah bebas yang baharu dilantik telah berkerja sepenuh masa bagi memastikan kepentingan pelabur dan syarikat dapat dipenuhi,” kata Abdul Kadier yang dilaporkan oleh media tempatan berbahasa Inggeris.

Pada 7 Julai lalu, Serba Dinamik telah melantik bekas Ketua Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Mohamed Farid Abu Hassan sebagai pengarah bebas bukan eksekutif Serba Dinamik.

Selain daripada itu, Siti Zaleha Sulaiman, bekas Ketua Pengurusan Risiko Korporat di Bursa Malaysia dan pengarah bebas bukan eksekutif AIMFLEX Berhad turut dilantik pada tarikh yang sama.

‘Pelantikan audit yang cepat’

Selain daripada itu, Abdul Kadier turut menyatakan Serba Dinamik turut mengambil langkah yang pantas untuk melantik Ernst & Young Consulting Sdn Bhd (EY) sebagai pemantau dapatan audit KPMG.

“EY telah dilantik sebagai badan bebas untuk melakukan taksiran dan menyemak kebenaran dapatan audit oleh KPMG,

“Selain daripada itu, kami turut mempercepatkan pelantikan Nexia SSY PLT sebagai auditor luar baharu bagi menggantikan peranan KPMG,” ujarnya.

Nexia SSY PLT, syarikat tempatan telah dilantik sebagai badan audit Serba Dinamik pada 26 Julai lalu. Pada 3 Ogos, Nexia telah menerima kebenaran profesional oleh KPMG untuk mengambil alih peranan sebagai auditor Serba Dinamik.

Nexia merupakan salah satu ahli bebas rangkaian Nexia International. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply