Home Semasa APMM tahan kapal tangki Korea Selatan berlabuh tanpa kebenaran di perairan Malaysia

APMM tahan kapal tangki Korea Selatan berlabuh tanpa kebenaran di perairan Malaysia

by Air Times News Network

KOTA TINGGI, 10 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor telah menahan sebuah kapal tangki dari Korea Selatan kerana berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan 15 batu nautika timur Tanjung Siang, petang semalam.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki tersebut ditahan oleh anggota APMM yang sedang melaksanakan rondaan penguatkuasaan di perairan Johor Timur sekitar jam 5.15 petang.

“Pemeriksaan awal mendapati kapal tangki tersebut telah bersauh sejak Jumaat lalu ekoran menunggu arahan pergerakan daripada syarikat perkapalan,

“Bagaimanapun, nakhoda kapal telah didapati tidak memaklumkan ketibaan dan gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh di perairan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nurul Hizam, kapal tangki itu dikendalikan 18 kru warga Korea Selatan, Indonesia dan Myanmar berumur antara 19 tahun hingga 58 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kapal telah ditahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,

“Nakhoda bersama Ketua Jurutera kapal seterusnya telah dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut,” ujarnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply