Home PolitikPakatan Harapan Muhyiddin hilang sokongan, sila letak jawatan – Pakatan Harapan

Muhyiddin hilang sokongan, sila letak jawatan – Pakatan Harapan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin perlu meletakkan jawatan secara terhormat setelah hilang sokongan dan keabsahan susulan tindakan UMNO menarik balik sokongan terhadap beliau.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam kenyataan menegaskan, peletakkan jawatan itu wajar dilakukan kerana pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sebelum ini berdasarkan warkah ketua-ketua parti politik yang menyokongnya.

“Kami mengingatkan Peguam Negara bahawa Muhyiddin sendiri telah dilantik sebagai Perdana Menteri berdasarkan warkah ketua-ketua parti politik yang menyokong beliau, termasuk Presiden UMNO, yang telah dipersembah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 29 Februari 2020,

“Maka apabila ketua parti terbesar itu mengumum menarik sokongan seperti yang berlaku sekarang, maka Perdana Menteri telah hilang sokongan asas parti tersebut dan seterusnya hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu.

Malah Majlis Presiden PH turut membidas kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berhubung Perdana Menteri dan Jemaah Kabinet yang didakwa masih kekal menjalankan kuasa eksekutif persekutuan.

“Jelas sekali Peguam Negara bertindak lebih sebagai ahli politik Perikatan Nasional (PN) daripada mempertahankan keluhuran undang-undang,

“Oleh itu, Muhyiddin perlu meletak jawatan secara terhormat kerana telah hilang sokongan dan keabsahan (legitimacy) sebagai Perdana Menteri,” tambahnya.

Pemimpin tertinggi 3 parti dalam PH ini turut berpendirian bahawa ketika sekarang bukan waktu yang sesuai untuk mengadakan sebarang pilihanraya memandangkan jumlah kes COVID-19 yang masih tinggi dan prasarana kesihatan awam yang semakin tertekan.

“Kita perlu memberi lebih banyak tumpuan kepada usaha menyelamatkan nyawa dan ekonomi rakyat ekoran krisis COVID-19 yang kian meruncing, berbanding terus berpolitik demi jawatan dan habuan,

“Sehubungan itu, PH akan terus memberi fokus kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat, pengurusan krisis COVID-19 dan program vaksinasi yang lebih pantas,

“Selain itu, langkah-langkah menghidupkan semula ekonomi negara yang lebih baik melalui dasar-dasar yang diteliti dan diumum oleh jawatankuasa-jawatankuasa PH harus dilaksanakan segera,” jelasnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply