SEPANG, 7 Julai – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah membuat satu laporan polis berhubung artikel fitnah yang disiarkan di portal klse.i3investor.com.
Pihak MAHB dalam satu kenyataan berkata, artikel bertajuk “MOH sold, and Malaysia for sale? MYEG Bhd sponsored the BP Healthcare & MAHB COVID-19 scam endorsed by DG Tan Sri Noor Hisham Abdullah?” adalah tidak benar dan mempunyai niat jahat.
“Artikel yang ditulis oleh pengguna bernama ‘VirusInMOH’ telah melakukan tuduhan tidak berasas terhadap MAHB,
“Penulisan tersebut turut mempunyai unsur serta niaat untuk merosakkan reputasi serta integriti pihak MAHB,” katanya.
Menurut MAHB, pihaknya turut mefailkan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
“Kami turut mengeluarkan notis kepada pemilik portal untuk memadamkan artikel tersebut,
“Selain daripada itu, kami turut meminta pemilik klse.i3investor.com untuk berhenti dari membuat sebarang kenyataan berhubung artikel tersebut,” tegasnya.
MAHB menambah, pihaknya memandang serius isu ini kerana ianya menjejaskan imej syarikat di mata masyarakat dan juga pelabur.
Tinjauan AirTimes mendapati artikel tersebut gagal diakses dan dipercayai telah dipadam.
Kejadian ini merupakan kali kedua laporan polis dibuat terhadap klse.i3investor.com dalam tempoh 2 minggu.
Sebelum ini, pihak Serba Dinamik telah membuat laporan polis terhadap portal tersebut kerana menyiarkan artikel berunsur fitnah yang melabel syarikat tersebut sebagai Skim Ponzi.
Tidak lama selepas laporan polis dibuat, penulis artikel, Uncle_Tan telah menyiarkan permohonan maaf beliau terhadap Serba Dinamik. – airtimes.my