Home Ekonomi Serba Dinamik yakin mampu pulihkan kepercayaan para pelabur

Serba Dinamik yakin mampu pulihkan kepercayaan para pelabur

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 5 Julai – Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik Holdings, Datuk Dr Abdul Karim Abdullah menegaskan tindakan saman terhadap firma audit KPMG adalah untuk kebaikan pemegang dan pelabur saham.

Menurut beliau, tindakan undang-undang diambil atas nasihat pihak guaman dan juga bukti yang kukuh.

“Kita mengambil tindakan undang-undang adalah untuk meleraikan perbezaan pendapat antara pihak pengurusan syarikat dan pihak audit,” kata Abdul Karim yang dipetik oleh media ekonomi tempatan, The Malaysian Reserve.

Serba Dinamik merupakan syarikat tempatan yang mempunyai kadar pertumbuhan kumulatif tahunan melebihi kadar 30% untuk tempoh 5 tahun lalu.

Situasi berubah pada akhir Mei lalu apabila berlakunya kemelut di antara Serba Dinamik dan KPMG.

“Saya boleh katakan ini merupakan satu cabaran yang paling besar pernah dihadapi oleh pihak syarikat,

Beliau menambah, pihak kumpulan Serba Dinamik yakin mereka mempunyai asas yang kukuh dan mempunyai peluang yang tinggi untuk memenangi kes.

“Langkah diambil bagi mempertahankan hak kami, mempertahankan apa yang kami  lakukan demi kebaikan pemegang dan pelabur saham,” ujarnya.

Jelasnya, Serba Dinamik tidak mempunyai sebarang isu dengan pihak audit sepanjang berurusan dengan mereka namun situasi adalah berbeza pada tahun 2020 dan 2021.

Pada masa yang sama, Abdul Karim turut menegaskan beliau tetap berkeyakinan Serba Dinamik mampu untuk menghadapi detik-detik sukar sebagaimana yang dihadapi pada ketika ini.

“Kita sedang berusaha sepenuhnya dan menggunakan segala pilihan untuk mencari jalan yang terbaik bagi menyelesaikan isu ini,

“Pihak kami turut memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia,

“Ini bagi memastikan segala maklumat dan tindakan yang perlu dilakukan dapat dijalankan dengan baik bagi memastikan situasi semasa kembali pulih sediakala,” kata Abdul Karim. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply