Home Pertahanan dan Keselamatan PGA Sarawak catat rampasan bernilai RM27.27 juta sejak Januari lalu

PGA Sarawak catat rampasan bernilai RM27.27 juta sejak Januari lalu

by Nurulhuda

KUCHING, 5 Jul – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak telah melaksanakan 229 serbuan dan 754 tangkapan serta pengusiran membabitkan rampasan barangan bernilai RM27.27juta bagi tempoh 6 bulan pertama tahun ini.

Komandernya, Senior Asisten Komisioner Saini Bongkek berkata, jumlah tangkapan tersebut membabitkan seramai 149 warga tempatan yang terdiri daripada 128 lelaki dan 21 wanita.

Manakala tangkapan yang membabitkan warga asing pula adalah seramai 169 orang yang terdiri daripada 137 lelaki dan 32 wanita.

“Selain itu, jumlah pengusiran melibatkan seramai 436 warga asing yang terdiri yang terdiri daripada 367 lelaki dan 69 wanita dan kesemua mereka membabitkan rakyat dari Indonesia,

“Manakala pecahan nilai rampasan yang melibatkan rokok seludup bernilai RM16,387,683.10, kayu balak (RM4,926,682.60), kenderaan (RM4,449,850), arak dan minuman keras seludup (RM562,526.99), dadah (RM28,865), hidupan dan tumbuhan dilindungi (RM222,000) dan lain-lain rampasan bernilai RM691,067.63,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua tangkapan dan barang rampasan itu disiasat mengikut pelbagai akta termasuk Akta Imigresen 1963, Akta Kastam 1967, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Ordinan Perhutanan Sarawak 2015 dan Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak 1998.

Menurutnya, kesemua warga tempatan yang dicekup dalam operasi yang dijalankan adalah berperanan sebagai transporter serta tekong darat yang mengambil dan menghantar pendatang asing tanpa izin (PATI) ke destinasi seperti yang telah ditetapkan sindiket.

“Mereka ini dipercayai menerima bayaran minimum RM300 bagi setiap trip dengan membawa PATI yang menyelinap masuk ke sempadan negara melalui pelbagai cara termasuklah berjalan kaki dan menaiki kenderaan,

“Sindiket ini juga sering mengubah modus operandi bagi membawa PATI terutamanya diuruskan oleh dalang di negara jiran Indonesia dan menggunakan rangkaian di Malaysia bagi mengatur perjalanan dan tempat transit sementara,

“Selain itu, mereka juga licik kerana sentiasa memantau keadaaan kawalan sekeliling dan mengetahui pasukan keselamatan yang bertugas di kawasan sempadan,” jelasnya.

Saini turut menjelaskan, bahagian Kuching, Serian dan Sri Aman adalah merupakan antara lokasi panas kemasukan PATI di negeri berkenaan.

“Ini disebabkan beberapa faktor seperti terdapatnya permintaan yang tinggi dan [eluang pekerjaan dalam sektor pembuatan, perladangan dan pembinaan serta lain-lain faktor penarik yang boleh menjamin kehidupan yang lebih selesa kepada mereka. -aitimes.my

Related Articles

Leave a Reply