Home Semasa Lantik Perdana Menteri baharu, Ku Li mohon Raja-Raja Melayu mainkan peranan

Lantik Perdana Menteri baharu, Ku Li mohon Raja-Raja Melayu mainkan peranan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Raja-Raja Melayu bertanggungjawab untuk memainkan peranan mereka untuk memilih dan melantik perdana menteri yang baharu.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, pemilihan perdana menteri baharu ini adalah untuk mengetuai kerajaan bagi menyelamatkan negara yang kini dalam keadaan genting ekoran penularan wabak COVID-19.

Menurutnya, peranan ini timbul selaras dengan Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong di hadapan Raja-Raja Melayu yang memilih baginda mewakili Majlis Raja-Raja Melayu.

“Peranan ini wujud selaras dengan Sumpah Jawatan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau membuat rayuan itu menjelang mesyuarat Majlis Raja-Raja yang dijadualkan petang hari ini.

Tengku Razaleigh yang juga Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO berkata, tanggungjawab ini memerlukan pemilihan seorang pemimpin tanpa kepentingan peribadi, parti politik mahu pun pertimbangan peribadi.

“Pemimpin tersebut semestinya mempunyai kemampuan, keupayaan, visi dan pemahaman mendalam mengenai keadaan semasa demi memimpin kerajaan yang mampu membantu kita mengatasi keadaan teruk yang melanda rakyat sekarang,

“Sekarang ini kita menghadapi krisis bertubi-tubi yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Sistem ekonomi kita merudum,

“Di samping itu, kita mengalami krisis berkaitan dengan keperluan asas seperti bekalan makanan, keadaann kesihatan dan isu keselamatan. Kita ada dua pilihan, sama ada hadapinya dan selesai kesemua masalah atau menempuhi kegagalan,” tambahnya.

Menurutnya, semua sedia maklum kepimpinan mempunyai hubung kait rapat dengan kemajuan negara dan kehidupan rakyat yang baik.

“Sejarah banyak merakam kegagalan kepimpinan dan tidak seharusnya kita memberi ruang kepada kegagalan,

“Kepimpinan negara masa kini amat penting kesannya terhadap cara hidup rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, Tengku Razaleigh berkata, terdapat tiga kekurangan Dewan Rakyat yang ditauliahkan oleh perlembagaan sebagai penentu muktamad untuk memilih Perdana Menteri daripada kalangan wakil rakyat.

“Pertamanya ia tidak berfungsi secara menyeluruh oleh kerana sebahagian wakil rakyat mempunyai kepentingan kewangan sama ada secara terbuka atau senyap dan hilang kelayakan mengikut Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

“Kedua, Dewan Rakyat kini dalam keadaan tergantung dan tiada pihak mempunyai majoriti untuk membuat keputusan.

“Dan ketiga terdapat ahli-ahli yang tidak menepati peruntukan perlembagaan berkaitan dengan pemilihan mereka. Ini merupakan penipuan terhadap perlembagaan,” katanya.

Tengku Razaleigh turut menjelaskan, tidak terdapat peruntukan di dalam perlembagaan atau mana-mana undang-undang untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Kini perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat mengenai keadaan semasa semakin tebal walaupun ia tidak disuarakan oleh mereka.

“Gelombang sepi ini mencerminkan kehilangan keyakinan oleh rakyat terhadap pemimpin mereka. Kita tidak harus membenarkan keadaan ini membiak,” jelasnya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply