Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan kapal tangki Jepun bersauh tanpa kebenaran di Pulau Pinang

APMM tahan kapal tangki Jepun bersauh tanpa kebenaran di Pulau Pinang

by Nurulhuda

GEORGE TOWN, 16 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah kapal tangki selepas disyaki bersauh tanpa kebenaran di perairan Pulau Pinang, petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kapal tangki Eneos Ocean yang berdaftar di Jepun itu telah ditahan oleh kapal ronda Maritim Malaysia KM Burau pada kedudukan 53 batu nautika barat laut Pulau Kendi lebih kurang jam 4.00 petang ketika melaksanakan Operasi Pertiwi dan Operasi Benteng Laut.

Beliau berkata, kapal tersebut dalam perjalanan dari Singapura ke Fujuriah, Emiriah Arab Bersatu itu dikendalikan oleh 26 kru terdiri daripada 4 warga Jepun termasuk nakhoda dan 22 kru warga Filipina.

“Kesemua mereka memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, namun gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh serta gagal memaklumkan ketibaan di perairan Malaysia,

“Nakhoda dan 3 kru terbabit dibawa ke ibu pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk siasatan lanjut,”katanya dalam hantaran di media sosial milik APMM, hari ini.

Abd Razak berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.

“Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” tambahnya.

Pada masa yang sama, Abd Razak turut menyeru semua pemilik kapal supaya memastikan segala prosedur dan peraturan dipatuhi sebelum memasuki serta bersauh di perairan Malaysia.

“Pihak Maritim Malaysia akan sentiasa memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara dipelihara,

“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut atau sebarang kecemasan segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” ujarnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply