Home Semasa 877 daripada 907 individu dikompaun ingkar SOP PKP – Ismail Sabri

877 daripada 907 individu dikompaun ingkar SOP PKP – Ismail Sabri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Seramai 907 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu seramai 877 individu telah dikenakan kompaun, 28 lagi direman manakala 2 dijamin.

“Antara kesalahan direkodkan ialah mereka yang tidak memakai pelitup muka (208); gagal merekod butiran driri dan daftar masuk premis (148); rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran dan makan di premis (147) dan tiada penjarakan fizikal (123),

“Selain itu, mereka yang ditahan termasuklah mereka yang tidak patuh arahan kawalan pergerakan (81); membawa penumpang berlebihan (79); aktiviti pusat hiburan (28); premis gagal patuhi arahan (10) dan lain-lain kesalahan (82),” katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Menurutnya, Task Force Operasi Pematuhan pula telah membuat 102,633 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP.

Mengenai kawalan sempadan negara pula, beliau berkata Operasi Benteng (Op Benteng) semalam, telah merampas 2 buah kenderaan darat dan sebuah bot atau kapal.

“Sebanyak 75 buah bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui 18 aktiviti penglihatan,” tambahnya.

Dalam perkembangan sama, Op Benteng yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi keselamatan lain turut menjalankan 803 sekatan jalan raya (SJR), pada Rabu.

Dalam masa yang sama, Ismail Sabri menegaskan, kerajaan turut bersetuju untuk melanjutkan tempoh sekatan tambahan bagi kemasukan pengembara ke Labuan bermula 10 sehingga 30 Jun 2021 setelah mengambil kira situasi terkini COVID-19 di dalam negara. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply