Home Semasa Industri aeroangkasa Malaysia akan pulih pada 2022 – Azmin

Industri aeroangkasa Malaysia akan pulih pada 2022 – Azmin

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 22 Apr – Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali hari ini menegaskan industri aeroangkasa Malaysia akan kembali pulih pada tahun 2022.

“Kita menjangkakan industri ini mampu untuk kembali pulih dan mencapai nilai sebelum pandemik COVID-19 pada tahun hadapan,” katanya semasa menyampaikan ucaptama Airbus Malaysia Connect Webinar, hari ini.

Jelasnya, matlamat ini akan tercapai sekiranya Malaysia terus menarik pakej kerja baharu untuk menggalakkan perkembangan industri aeroangkasa di peringkat tempatan.

“Pemulihan ini dapat dipercepatkan sekiranya pihak pemain industri memperkembangkan perkhidmatan kargo, penerbangan perniagaan, penyelenggaraan (MRO) dan latihan profesional,” ujarnya.

Menurut Azmin, wabak COVID-19 yang melanda dunia telah menyebabkan pendapatan industri aeroangkasa Malaysia pada tahun 2020 berkurangan sebanyak antara 20 hingga 30 peratus.

“Pada tahun 2019, industri ini telah mengaut pendapatan sebanyak RM16.22 juta,” jelasnya.

Beliau menambah, industri penerbangan komersil merupakan antara sektor yang terkesan akibat wabak terbabit berikutan penutupan sempadan dan had pengembaraan domestik.

“Kita mendapat maklum bahawa bahagian pengeluaran dan MRO turut terjejas akibat COVID-19,

“Selain daripada itu, banyak aktiviti berkaitan telah digantung manakala para pekerja hilang pekerjaan mereka,” ujar Azmin.

Menurutnya, kerajaan Malaysia telah mengumumkan 5 projek aeroangkasa sejajar dengan Belanjawan 2021. Projek ini bermatlamat untuk merancakkan semula industri tersebut dan menjadikan ia terus kompetitif di peringkat global.

“Sebanyak RM15 juta telah diperuntukkan untuk program pembangunan industri,” katanya.

Airbus Malaysia Connect Webinar merupakan acara maya yang diadakan selama sehari anjuran Airbus.

Menteri Sains dan Teknologi, Khairy Jamaluddin dijangka akan menyertai acara pada sesi petang. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply