Home Semasa Pusat Jagaan Rohaniah di Pasir Puteh Kelantan dikenakan PKPD mulai esok

Pusat Jagaan Rohaniah di Pasir Puteh Kelantan dikenakan PKPD mulai esok

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Pusat Jagaan Rohaniah, Sekolah Integrasi Ikhwan, Kg. Gong Kulim, Mukim Semerak, Pasir Puteh, Kelantan selama 14 hari bermula esok.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu susulan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan kes COVID-19 secara mendadak dengan sebanyak 25 kes positif telah direkodkan di lokaliti terbabit.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju PKPD di lokasi berkenaan bermula 29 Mac sehingga 11 April 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan PKPD tersebut untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penghuni serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti.

Sementara itu, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Penjara Tapah, Batang Padang, Perak bermula 30 Mac sehingga 12 April ini kecuali Kuarters Kakitangan Penjara Tapah yang ditamatkan esok.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 3,787 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 834 kes positif COVID-19 telah direkodkan,

“KKM mengesahkan masih berlaku jangkitan yang melibatkan tahanan dengan 27 kes positif terakhir telah dilaporkan pada 25 Mac 2021. Walaubagaimanapun, peningkatan kes ini tidak melibatkan anggota serta ahli keluarga yang tinggal di kuarters kakitangan penjara tersebut,” ujarnya. –airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply