Home PolitikPakatan Harapan Naib Presiden PKR keluar parti, umum sokong PN

Naib Presiden PKR keluar parti, umum sokong PN

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr. Xavier Jayakumar hari ini mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan keluar parti serta-merta.

Beliau menerusi satu kenyataan turut mengumumkan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai Ahli Parlimen Bebas.

“Saya akan terus berkhidmat kepada rakyat di kawasan parlimen dan menyokong kerajaan hari ini sebagai Ahli Parlimen Bebas,

“Saya yakin dan mampu untuk memenuhi janji pilihan raya kepada rakyat Kuala Langat,” katanya.

Xavier yang juga bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli berkata, beliau telah bersama dengan PKR semenjak tahun 1998 lagi.

“Namun begitu, saya telah kecewa dengan banyak perkembangan yang berlaku semenjak tahun lalu,

“Pada ketika ini terdapat pihak yang masih berbincang kemungkinan berlakunya pilihan raya umum (PRU) dalam masa terdekat,

“Sedangkan ianya bukanlah satu perkara yang penting pada ketika ini,” ujarnya.

Tambah Xavier, memberi sokongan kepada kerajaan hari ini untuk membendung penularan COVID-19, dan membangunkan ekonomi negara adalah keutamaan sebenar.

“Sekurang-kurangnya kita memerlukan tempoh masa 18 bulan untuk menjayakan program vaksinasi sepenuhnya,

“Pada masa yang sama, usaha untuk memulihkan ekonomi negara pula memerlukan tempoh 2 tahun,” katanya.

Beliau turut menegaskan matlamat kerajaan dalam usaha menangani krisis pandemik dan ekonomi dapat dicapai jika diberi sokongan penuh dari semua ahli politik tanpa mengira latar belakang.

“Rakyat mahukan kestabilan dan pemulihan sektor ekonomi kita. Oleh itu, kita perlu berkerjasama dan bukannya bertarung diantara sesama sendiri,” ujarnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply