Home Semasa Bekerja dari rumah, norma baharu yang wajar diteruskan

Bekerja dari rumah, norma baharu yang wajar diteruskan

by Bernama

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Amalan Bekerja Dari Rumah (BDR) yang dipraktiskan secara meluas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih setahun lalu, semakin diterima walaupun agak janggal pada awal pelaksanaannya.

Pembukaan semula sektor perkhidmatan dan ketersediaan vaksin di negara ini bagi mengekang penularan COVID-19, menimbulkan pertanyaan adakah wajar norma baharu bekerja dari rumah ini diteruskan, walaupun pandemik COVID-19 berakhir.

Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM) Dr. Harris Shah Abd Hamid berpendapat, pendekatan BDR wajar diteruskan berikutan kesan positif yang diperolehi bukan sahaja pekerja tetapi melangkaui banyak aspek.

“BDR wajar diteruskan, namun keperluan dan pilihan pekerja perlu diberi keutamaan supaya BDR tidak dilihat sebagai satu solusi yang dipaksa.

“Terutama bagi sesetengah pekerja yang tinggi keperluan sosial, yang boleh menyebabkan mereka kehilangan saluran untuk mendapatkan kepuasan interaksi sosial apabila melakukan BDR,” katanya kepada Bernama di sini.

Pelaksanaan BDR juga jelas beliau, perlu dilaksanakan dengan melihat kepada kesepadanan pekerja dan pekerjaan, bagi memastikan petugas dapat melaksanakan pekerjaan mereka dengan lebih produktif di rumah.

Kajian yang dilakukan beberapa pihak menunjukkan, banyak kesan positif yang boleh dilihat melalui BDR terutama produktiviti dan penyampaian tugasan.

Beliau berkata, oleh itu apabila kerajaan mempertimbangkan untuk memperluaskan kemudahan bekerja dari rumah bagi sektor awam dan swasta bagi menjaga ahli keluarga yang uzur, sakit, menyokong isteri menjaga anak yang baru lahir, ini adalah langkah yang wajar dipuji.

“Ini mampu mengurangkan tekanan yang timbul daripada konik tuntutan kerja dan tuntutan keluarga. Saya yakin ramai pemberi penjagaan kepada ahli keluarga, yang mana setiap mereka ini akan mendapat manfaat daripada pilihan untuk BDR.

“Dalam konteks ini, pilihan bekerja dari rumah boleh disifatkan sebagai langkah pencegahan tekanan, terutama dalam kategori utama,” katanya.

Isnin lepas, sempena Sambutan Hari Wanita 2021, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, kerajaan mempertimbangkan memperluaskan kemudahan BDR untuk sektor awam dan swasta dengan gaji penuh bagi penjagaan ahli keluarga yang uzur dan sakit, serta menyokong isteri dalam hal penjagaan anak yang baru lahir.

Kerajaan juga turut mengkaji sekiranya kemudahan BDR dapat dipanjangkan kepada wanita atau lelaki yang kematian pasangan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Perusahaan Petroleum dan Kimia (NUPCIW), yang juga bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Datuk Abdul Halim Mansor menyifatkan, tindakan memperluaskan pendekatan BDR merupakan pendekatan tepat dalam mengadaptasi amalan norma baharu dalam masyarakat.

Beliau berkata, bagi menjayakan konsep ini majikan perlu mengubah pemikiran konservatif, yang sentiasa mahu pekerja berada di pejabat dalam menyempurnakan tugasan masing-masing.

“Jangan jadikan budaya kerja dari rumah ini hanya ketika pendemik COVID-19 melanda negara semata-mata, sewajarnya diteruskan sebab jika kita tengok negara lain pun, mereka telah jadikan kerja dari rumah ini secara profesional.

“Namun masih ada sebilangan majikan yang berfikiran lama, mahu pekerja ada depan mata sebagai bukti mereka buat kerja. Pada zaman teknologi ini tidak perlu pun kehadiran di pejabat termasuk wartawan, kerana mereka boleh guna sepenuhnya gajet untuk menghantar laporan berita di mana-mana termasuk dari rumah,’’ katanya.

Abdul Halim berkata selain diberikan gaji penuh, pekerja yang bekerja dari rumah juga perlu diberikan jaminan keselamatan seperti caruman insurans Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Sekiranya berlaku kemalangan di tempat kerja, pekerja boleh membuat tuntutan insuran daripada Perkeso tetapi bagaimana pula sekiranya berlaku kemalangan di rumah ketika sedang melakukan tugasan, adakah ada perlindungan buat mereka.

“Perkara ini perlu diteliti dengan membuat pindaan, supaya ada jaminan untuk mereka yang bekerja dari rumah kerana kemalangan juga boleh berlaku di rumah,” katanya.

Jelasnya, selain kepercayaan antara majikan dan pekerja, pendekatan BDR juga perlu mewujudkan situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak.

“Bila pekerja bekerja dari rumah, majikan mungkin dapat kurangkan kos sewaan ruang pejabat atau elektrik dan pada masa yang sama mereka (majikan) perlulah sediakan kemudahan seperti laptop dan sebagainya, supaya pekerja dapat laksanakan tugas dengan lebih berkesan,” katanya. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply