KUALA LUMPUR, 10 Mac – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 7 buah blok flat Sibu Jaya akan ditamatkan esok seperti dijadualkan sebelum ini.
Beliau berkata, blok flat tersebut adalah Blok C, H, J, K, L, N dan R, yang sebelum ini dikenakan PKPD bermula 5 hingga 11 Mac 2021.
“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 6,875 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 390 kes telah dilaporkan,
“KKM mengesahkan baki kes aktif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan, terkawal serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan,
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Flat Sibu Jaya Blok C, H, J, K, L, N dan R, Sibu, Sarawak pada 11 Mac 2021 seperti yang dijadualkan,” katanya dalam kenyataan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), hari ini.