Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Kementerian Pertahanan peruntuk RM10 juta laksana Projek Jiwa Murni

Kementerian Pertahanan peruntuk RM10 juta laksana Projek Jiwa Murni

by Nurulhuda

BERA, 6 Mac – Kementerian Pertahanan memperuntukan sebanyak RM10 juta kepada Tentera Darat Malaysia (TDM) untuk tahun ini bagi melaksanakan Projek Jiwa Murni (PJM) di seluruh negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan tersebut adalah bagi membolehkan lebih banyak PJM bakal dilaksanakan di seluruh negara secara berperingkat.

Beliau berkata, PJM yang akan dilaksanakan membabitkan pembinaan rumah baru, baik pulih rumah, penyelanggaraan dewan, pembersihan kubur, masjid dan surau.

“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai unit kejuruteraan dan kepakaran membina PJM dalam tempoh singkat serta menepati spesifikasi,

“Pada tahun ini, ATM menetapkan sekurang-kurangnya 50 projek dapat dilaksanakan di seluruh negara membabitkan pelbagai projek dikenal pasti,” katanya dalam sidang media selepas lawatan tapak PJM di Kuala Triang, hari ini.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizzudeain Jantan, Pemgerusi Majlis Tindakan Sosial, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin dan Ketua Jurutera Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Chapiti Redzwan.

Pelaksanaan Projek Jiwa Murni di Kuala Triang ini adalah sempena Hari Tenteta Darat ke-88 yang disambut pada 1 Mac lalu.

Aktiviti seumpama ini begitu signifikan dan bertepatan dengan tema iaitu ‘Sinergi Tentera Darat dan Rakyat: Tunjang Kedaulatan Negara’.

Menurutnya, dalam melaksanakan PJM ini, sebanyak RM2.5 juta peruntukan tambahan diterima daripada semua kerajaan negeri termasuk Sarawak yang menyumbangkan sebanyak RM1.5 juta.

Sementara itu, mengenai pembinaan rumah baharu kepada Mohd Tahir Nong Chik, beliau berkata, rumah 3 bilik bernilai RM65,000 itu dijangka disiapkan dalam tempoh 50 hari.

“Projek ini melibatkan seorang pegawai dan 18 anggota dari pasukan Skuadron ke-11 Rejimen Askar Jurutera Diraja (Mekanise) dan dibantu 10 anggota pasukan Rejimen ke-34 Artileri Diraja (RAD),” jelasnya.

Ismail Sabri turut menggesa pihak korporat, swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan institusi perbankan menghulurkan sumbangan kewangan supaya lebih banyak penerima PJM dilaksanakan.

“Bantuan tanggungjawab sosial korporat (CSR) PJM bukan sahaja membabitkan orang awam tetapi juga bekas tentera yang memerlukan rumah lebih selesa,” ujarnya. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply