Home Semasa COVID-19: 2,548 angka sembuh, Selangor catat kes harian tertinggi

COVID-19: 2,548 angka sembuh, Selangor catat kes harian tertinggi

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 2,548 kes sembuh COVID-19 dalam tempoh 24 jam di Malaysia sekaligus mengatasi bilangan kes baharu harian iaitu 1,680 kes hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kumulatif kes sembuh setakat ini adalah 289,452.

Manakala jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Malaysia kini adalah 311,777 kes.

“Daripada jumlah baharu hari ini, 3 kes import dan 1,677 kes membabitkan penularan tempatan,

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula sebanyak 21,159, selain itu hari ini 7 kes kematian direkodkan dan ia menjadikan jumlah keseluruhan 1,166 kes,

“Seramai 172 pesakit COVID-19 menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 84 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, negeri Selangor mencatat kes baharu tertinggi iaitu 826 kes.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 737 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan,

“Ini diikuti oleh Sarawak sebanyak 221 kes dan Johor sebanyak 139 kes,” ujarnya.

Sementara itu, mengenai 7 kematian baharu hari ini, Dr Noor Hisham berkata 3 kes di Selangor dan Sarawak serta satu di Sabah.

“Kesemua kes kematian melibatkan warganegara,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata 4 kluster baharu dikesan hari ini melibatkan 3 kluster berkaitan tempat kerja dan satu kluster melibatkan komuniti. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply