KUALA LUMPUR, 5 Mac – Seramai 9 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) di seluruh negara, semalam.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi tersebut juga berjaya merampas 2 kenderaan darat.
“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 106 buah bot atau kapal di perairan negara melalui 5 operasi penglihatan,
“Selain itu, seramai 6 orang PATI turut diusir menerusi 3 operasi pengusiran,” katanya dalam kenyataan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.
Melalui Op Benteng semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM),
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 447 Sekatan Jalan Raya (SJR).
“Op Penawar yang melibatkan ATM, PDRM dan RELA sebanyak 392 SJR, Op Benteng PDRM (46 SJR) dan Op Benteng AKSEM (9 SJR),” ujarnya.
Sementara itu, pasukan Task Force Operasi Pematuhan PDRM pula telah menahan 246 individu atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP).
“Daripada jumlah itu, 234 telah dikompaun manakala 12 lagi individu direman manakala satu dijamin,
“Antara kesalahan adalah gagal menyediakan peralatan dan merekod diri atau pelanggan (94); tidak memakai pelitup muka (55); rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran (37); tiada penjarakan fizikal (29); aktiviti pusat hiburan (16); premis beroperasi lebih masa dan tanpa kebenaran (13) dan lain-lain (2),” ujarnya. – airtimes.my