Home Semasa Kampung Serumah Daerah Kecil Siburan dikenakan PKPD bermula esok

Kampung Serumah Daerah Kecil Siburan dikenakan PKPD bermula esok

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Serumah Daerah Kecil Siburan, Bahagian Serian, Sarawak bermula esok sehingga 20 Mac 2021.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan masih berlaku penularan kes COVID-19 melibatkan penduduk di lokaliti berkenaan.

“Sehingga 5 Mac 2021, sebanyak 416 ujian saringan telah dijalankan dan daripada jumlah itu, 21 kes positif COVID-19 telah direkodkan,

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Serumah Daerah Kecil Siburan bermula 7 hingga 20 Mac depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas 580 penduduk serta mengesan beberapa lagi kontak rapat.

Sementara itu, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Asrama Kilang dan Tapal Binaan Central Medicare, Hilir Perak esok seperti dijadualkan.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 2,074 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 1,650 kes positif COVID-19 telah direkodkan,

“KKM mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal. Semua kes positif telah menerima rawatan dan kontak rapat telah diasingkan serta dipantau,” ujarnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply