Home Semasa COVID-19: 2,486 kes sembuh atasi 1,828 kes baharu

COVID-19: 2,486 kes sembuh atasi 1,828 kes baharu

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Feb – Sebanyak 2,486 kes sembuh dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 sebanyak 275,903 kes.⠀

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes sembuh itu mengatasi jumlah kes harian baharu iaitu sebanyak 1,828 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 dalam negara mencecah 302,580 kes.⠀

Daripada jumlah kes baharu itu, Dr Noor Hisham berkata, 7 daripadanya adalah kes import iaitu membabitkan 4 warganegara dan 3 warga asing.

Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 25,542 kes.⠀

“Johor melaporkan kes harian baharu tertinggi sebanyak 490 kes. Daripada jumlah ini, sebanyak 453 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan,

“Ini diikuti dengan Selangor sebanyak 453 kes dan Sarawak pula sebanyak 220 kes,

“Sebanyak 113 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen yang membabitkan Kluster Tembok Tapah (80 kes), Kluster Telok Mas (7 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (7 kes), Kluster Tembok Taiping (6 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (5 kes), Kluster Tembok Bendera (4 kes), Kluster Penjara Jalan Sungai Jelok (3 kes), dan Kluster Tembok Bukit Besi (1 kes),” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan kes COVID-19 di negara, hari ini. ⠀

Dr Noor Hisham turut menjelaskan, terdapat 198 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 90 kes memerlukan bantuan pernafasan.⠀

Selain itu, 5 kes kematian direkodkan membabitkan 2 kes di Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, serta 1 kes di Melaka.

“Kesemua kes kematian melibatkan warganegara Malaysia,⠀

“Pertambahan kes kematian pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat COVID-19 di dalam negara meningkat kepada 1,135 kes,” tambahnya. ⠀

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut melaporkan terdapat 7 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini. Ia melibatkan 5 kluster berkaitan tempat kerja, dan masing-masing 1 kluster melibatkan komuniti serta kumpulan berisiko tinggi. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply