Home Semasa 426 individu masih degil, ingkar SOP PKP

426 individu masih degil, ingkar SOP PKP

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 30 Jan – Seramai 426 individu ditahan selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 404 telah dikompaun, 21 direman manakala seorang telah dijamin.

“Antara kesalahan direkodkan ialah gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (93), tidak memakai pelitup muka (88), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (81), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (40), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (24), makan dan minum di premis tanpa kebenaran (20), mengadakan majlis tanpa kebenaran (6) dan lain-lain (74),

“Sebanyak 2,957 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 13,091 anggota telah membuat pemantauan di 3,880 pasar raya, 5,043 restoran, 1,834 penjaja, 1,517 kilang, 3,311 bank dan 669 pejabat kerajaan,

“Turut dipantau, sebanyak 971 terminal pengangkutan darat, 234 terminal pengangkutan air serta 71 terminal pengangkutan udara,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan seramai 23 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditangkap dalam Operasi Benteng (Op Benteng).

“Op Benteng turut berjaya merampas 5 buah kenderaan darat dan 2 buah bot dalam operasi tersebut,

“Pihak berkuasa juga turut mengesan 164 bot/kapal di perairan negara melalui 5 aktiviti penglihatan,” tambahnya.

Ismail Sabri berkata, operasi yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 538 Sekatan Jalan Raya (SJR) semalam.

“SJR melibatkan Op Penawar iaitu ATM, PDRM dan RELA yang telah membuat 482 SJR,

“Op Benteng PDRM (47 SJR) dan Op Benteng AKSEM (9 SJR),” ujarnya. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply