Home Semasa COVID-19: 2,027 kes baharu, 8 lagi kematian

COVID-19: 2,027 kes baharu, 8 lagi kematian

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Malaysia merekodkan kes harian baharu COVID-19 sebanyak 2,027 dan 8 kematian dicatatkan hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah kes harian baharu itu menjadikan keseluruhan sebanyak 122,845 kes dan kes kematian di Malaysia adalah sebanyak 509 kes setakat ini.

“Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 22,887 kes,

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat 16 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 2,011 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 508 kes diikuti Johor sebanyak 428 kes dan Sabah 383 kes.

“Daripada jumlah kes di Selangor, sebanyak 338 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan,

“Sebanyak 111 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (64 kes), Kluster Tembok Gajah (43 kes), Kluster Tembok Choh (2 kes), dan Kluster Penjara Kepayan (2 kes),” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata sehingga kini, terdapat 123 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 52 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, Malaysia juga merekodkan 11 lagi kluster baharu hari ini yang dikenal pasti di Selangor, Johor, Sabah, Kelantan, Kuala Lumpur, Pahang, Sarawak dan Terengganu. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply