Home Semasa Pakatan Harapan tolak Belanjawan 2021, sepakat buat undian belah bahagi esok

Pakatan Harapan tolak Belanjawan 2021, sepakat buat undian belah bahagi esok

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 14 Dis – Pakatan Harapan (PH) sepakat untuk menolak bacaan kali ketiga pembentangan Belanjawan 2021 yang dijadualkan akan dibaca esok di Dewan Rakyat.

Majlis Setiausaha PH dalam satu kenyataan berkata, mereka juga menggesa agar semua Ahli Parlimen, sama ada sebelah pembangkang mahupun dari kalangan penyokong kerajaan untuk menolak bacaan kali ketiga itu yang dilihat tidak menepati objektif serta matlamat untuk memerangi COVID-19.

Tambahnya, belanjawan itu juga dilihat tidak dapat membantu rakyat dan menghidupkan semula ekonomi negara yang terjejas akibat wabak berkenaan.

“Rakyat Malaysia sedia maklum bahawa apa yang diumum Menteri Kewangan sama ada sewaktu pengumuman atau penggulungan Belanjawan 2021 mahupun dalam siri kenyataan media tidak memenuhi apa yang dipohon dan diharapkan ramai Ahli-Ahli Parlimen malah juga rakyat amnya,

“Ini termasuklah isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), isu moratorium pinjaman bank, isu bantuan kepada petugas barisan hadapan dan yang terkesan akibat pandemik COVID-19, isu pendidikan anak-anak kita, pendapatan yang berkurangan, pekerjaan yang hilang, kos sara hidup yang makin meningkat dan banyak lagi,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung parti-parti komponen PH.

Justeru, PH menggesa Ahli Parlimen tidak kira blok kerajaan atau pembangkang untuk menolak Belanjawan 2021 esok.

PH sebelum ini telah menyatakan akan membahaskan Belanjawan 2021 di peringkat dasar dan jawatankuasa, sebelum membuat undian belah bahagi pada bacaan kali ketiga yang dijadualkan pada esok.

Kenyataan itu merupakan kenyataan bersama tiga setiausaha dalam PH iaitu Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution; Setiausaha Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Hatta Ramli dan Setiausaha DAP, Anthony Loke. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply